SAUDARA PENGARANG,
WALAUPUN terdapat bantahan terhadap projek pembinaan Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL), namun saya berpendapat ia perlu diteruskan dan dilihat dalam situasi berbeza.
Ini kerana projek tersebut berbeza dengan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang melibatkan perjanjian usaha sama dengan Singapura. Buat masa ini, tiada keperluan mendesak memandangkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) masih mampu memenuhi keperluan pengguna. Ditambah KTMB sedang menaik taraf landasan daripada satu trek kepada trek berkembar.
ECRL pula merupakan satu projek penting yang diilhamkan hampir 50 tahun dahulu sejak zaman Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri. Maka keperluan untuk meneruskan projek itu yang telah berjalan hampir 20 peratus tidak wajar dibatalkan.
Kerja-kerja menyediakan jajaran landasan telah bermula dari Kelantan menghampiri Temerloh dan Mentakab di Pahang. Sekiranya dibatalkan, perbelanjaan dikeluarkan menjadi sia-sia dan akan menjadi projek gajah putih yang akan mencacatkan dan menyakitkan mata seumur hidup.
Jumlah bayaran pampasan pengambilan balik tanah pun telah dibayar kepada pemilik tanah dan mereka tidak akan dapat semula aset tersebut sekali pun projek ECRL dibatalkan.
Berhubung isu penebangan pokok dan kerja-kerja tanah yang tidak dapat dielakkan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sepatutnya terus memantau dari semasa ke semasa.
Jika benar terdapat isu berkaitan pampasan tidak dibayar, ini bermakna wujud pihak yang kurang profesional dalam melaksanakan projek mega ini, selain tiada penyelarasan antara kerajaan negeri, pentadbiran tanah, syarikat konsesi dan lain-lain.
Kerajaan perlu meneliti semula aliran wang tunai negara atau peruntukan supaya ECRL diteruskan walaupun sedikit perlahan.
TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur