SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diumumkan sebagai penerima anugerah The Most Influential Innovators di Asia Selatan dan Asia Tenggara bagi kategori institusi akademik, sekali gus menjadikannya satu-satu universiti tempatan mengungguli anugerah berkenaan.
Dengan pengiktirafan tersebut, UKM berada sebaris dengan beberapa universiti lain seperti National University of Singapore dan Hanoi University of Science and Technology. Kriteria pemilihan adalah berdasarkan analisis jumlah paten, jumlah citation, kejayaan dan tahap globalisasi.
Mengapakah inovasi menjadi kian penting dewasa ini? Inovasi secara amnya bermaksud memperkenalkan sesuatu yang baharu. Mungkin bukan mencipta produk baharu tetapi pembaharuan yang dibawa adalah satu bentuk inovasi.
Tanpa inovasi, maka tiada yang baharu dapat dilahirkan. Tanpa pembaharuan, maka tiadalah pergerakan atau penambahbaikan.
Dalam konteks diri misalnya, tiadalah penambahbaikan diri seseorang. Dalam konteks organisasi pula, tanpa pembaharuan maka gulung tikarlah organisasi atau perniagaan kerana tidak relevan lagi dalam pasaran yang kompetitif.
Maka tidak hairan jika dalam satu kajian di luar negara mendapati 84 peratus eksekutif perniagaan menyatakan kejayaan pada masa hadapan bergantung kepada inovasi.
DR. SITI SURIANI OTHMAN
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)