SAUDARA PENGARANG,
KEWUJUDAN banyak rancangan bual bicara dan bimbingan agama di televisyen amat memberangsangkan akhir-akhir ini. Umat Islam berpeluang belajar ilmu agama secara percuma dan bimbingan khusus seperti memperbaiki mutu bacaan al-Quran daripada para ustaz dan ustazah terkenal.
Cuma ada beberapa teguran di sini. Pertama, tidak manis dan sesuai kalau moderator perempuan mengendalikan tetamu lelaki. Kadang-kadang, mereka ketawa berdekah-dekah dan bergurau senda disaksikan penonton.
Namun, bagi rancangan forum, tiada masalah untuk menjemput panel wanita dan lelaki. Setakat yang saya tonton, isi perbincangan menepati tajuk dan ahli panel bijak melontarkan pandangan bernas dan jitu.
Kedua, jika rancangan itu pukul 6.30 pagi, yang akan bekerja memang sukar hendak menontonnya. Yang lebih sesuai ialah pukul 12 tengah hari atau 6 petang. Jika malam, lepas pukul 9 malam iaitu setelah umat Islam kembali dari masjid dan surau.
Ketiga, terdapat moderator yang suka mencelah ketika tetamu undangan sedang melontarkan idea dan pemikiran. Sepatutnya moderator tunggulah beberapa ketika hingga tetamu sudah agak banyak memberi pendapat, bukan memotong pembicaraan.
Selain saluran TV1, TV3 dan Astro Oasis, TV Alhijrah tidak kurang peranannya apabila memperkenalkan rancangan My H.A.U.S, Dengar dan Hijrah Berselawat yang membawa mesej dan pengisian segar serta kontemporari.
Syabas diucapkan kepada semua stesen televisyen tersebut. Moga konsep pendidikan dan hiburan mendidik jiwa dapat terus disuburkan.
MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat, Johor