SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengumumkan kakitangan kontrak di hospital dan klinik seperti pekerja pembersihan dimasukkan dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia berpendapat, keputusan tersebut jelas menunjukkan pekerja pembersihan hospital kerajaan harus diiktiraf sebagai anggota barisan hadapan yang sangat penting.
Pada masa sekarang, pekerja pembersihan masih dilayan berbeza berbanding petugas kesihatan lain. Pada Mac tahun lalu, anggota petugas kesihatan kementerian yang terlibat menangani wabak Covid-19, menerima Elaun Khas Covid-19 pada kadar RM400 sebulan. Pada pembentangan Belanjawan 2021 pula, anggota barisan hadapan terbabit menerima bayaran sekali bayar insentif tambahan Covid-19 sebanyak RM500.
Malangnya, pekerja pembersihan sehingga sekarang masih tidak menikmati kedua-dua elaun tersebut. Kehidupan mereka semakin susah apabila syarikat pemegang konsesi pembersihan tidak menjaga kebajikan pekerja pembersihan dari segi gaji, elaun, cuti tahunan dan rawatan klinik panel.
Justeru, kerajaan tidak harus berhenti setakat memberikan imunisasi kepada pekerja pembersihan tetapi perlu meneruskan usaha untuk mengiktiraf mereka sebagai pekerja barisan hadapan
yang layak menerima pelbagai bantuan termasuk menyerap ke jawatan tetap kerajaan.
KPSPSHKSM
Ipoh, Perak