SAUDARA PENGARANG,
KERAJAAN perlu bertindak tegas mengharamkan terus aplikasi janji temu seperti Sugarbook yang amat bercanggah dengan akhlak dan nilai ketimuran kita. Aplikasi seperti ini menggalakkan gadis muda terjerumus dengan hubungan bebas demi wang ringgit.
Boleh punah generasi muda jika ramai gadis yang terpengaruh dengan gaya hidup mewah rakan-rakan yang ‘dibela’ lelaki kaya. Jangan dibiarkan mereka ini dieksploitasi dan terperangkap dalam pelacuran bentuk baharu.
Rumah tangga boleh runtuh apabila lelaki kaya yang sudah berkeluarga melanggan aplikasi ini untuk mencari sugar baby. Selain Sugarbook atau nama baharunya, Sucrebook, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) wajar memantau atau menutup terus aplikasi janji temu lain termasuklah yang mempromosi hubungan sejenis.
Di negara jiran, Menteri Sosial dan Pembangunan Keluarga Singapura, Desmond Lee pernah mengkritik aplikasi Sugarbook dan mahu platform serta penggunanya diawasi ketat pihak berkuasa.
Dalam satu kenyataan pada 2018, beliau menyatakan, polis mengawasi Sugarbook dan individu yang menggunakan perkhidmatannya serta mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya ada bayaran dibuat bagi memperoleh perkhidmatan seks melalui aplikasi itu.
Katanya, kerajaan republik itu secara kolektif membantah aplikasi sedemikian yang menjadikan hubungan sebagai satu komoditi yang diperdagangkan dan menurunkan nilainya.
Tambah beliau, aplikasi terbabit mendorong wanita muda merendahkan rasa harga diri mereka sendiri dan mendedahkan gadis terbabit kepada risiko dieksploitasi dan dianiaya.
RIZAL A.
Kuala Lumpur