SAUDARA PENGARANG,
KENYATAAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin berhubung ucapan Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 kelmarin bersifat dangkal dan tidak bertanggungjawab serta mencerminkan betapa terpisahnya daripada realiti antara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan kedudukan sebenar daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.
Seperti bos beliau, tampaknya Afif lebih suka menggunakan statistik secara selektif untuk mengelirukan orang ramai.
Seperti dilaporkan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD), aliran pelaburan langsung asing (FDI) negara pada 2020 jatuh kepada US$2.5 bilion (RM10.36 bilion), iaitu kejatuhan sebanyak 68 peratus dan merupakan negara tercorot dari segi aliran masuk bersih FDI dalam kalangan negara rantau Asia. Mengapa Afif tidak menafikan fakta ini?
Selain itu, Afif juga menggunakan Indeks Keterhubungan Global DHL (GCI) 2020 yang sebenarnya mengukur prestasi negara dari 2017 hingga 2018 di mana pada masa itu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih belum wujud dan Mohamed Azmin masih belum menjadi menteri.
Sebenarnya, sebahagian besar prestasi Malaysia dalam DHL GCI mengalami peningkatan pada masa Barisan Nasional (BN) di kedudukan ke-34 pada 2001 dan meningkat sehingga tangga ke-17 pada 2017.
Ranking-ranking lain seperti Cost of Manufacturing Operations Around The Globe oleh KPMG dan The Manufacturing Institute, Ease of Doing Business 2020 oleh Bank Dunia dan juga IMD World Competitiveness Ranking semuanya mengambil komponen penanda aras bagi 2015 hingga 2018 sebelum kewujudan PN. Adalah tidak bertanggungjawab untuk Afif mengambil kredit daripada hasil usaha kerajaan sebelum ini terutamanya BN yang meletakkan Malaysia dalam kedudukan daya saing yang tinggi berbanding negara-negara lain.
Bagaimanapun, segala ranking yang disebut Afif tidak berguna kerana tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk prestasi sebenar menarik pelabur apabila jumlah aliran FDI jatuh dengan lebih teruk, tercorot dan ketinggalan berbanding negara serantau seperti Indonesia, Filipina dan Vietnam. Kenapa Afif tidak menjawab persoalan ini? Adakah pelaburan-pelaburan oleh Apple, Samsung, Tesla, Amazon dan banyak lagi syarikat teknologi terkenal dunia di negara-negara jiran menjadikan mereka dumping ground?
Seeloknya Afif membantu bos beliau untuk merangka strategi menarik pelabur asing, bukannya sibuk bermain dengan angka dan ranking yang tidak memberi apa-apa makna kepada ekonomi negara apatah lagi kesejahteraan rakyat.
Jika tidak mampu berbuat demikian, eloklah Afif menasihatkan bos beliau untuk segera menasihati Perdana Menteri memanggil Parlimen untuk bersidang secepat mungkin bagi mengembalikan keyakinan pelabur luar kepada negara.
Jika tidak mampu juga, eloklah bubarkan Parlimen bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan yang lebih baik dan stabil demi memastikan daya saing dan pembangunan negara dikembalikan semula ke landasan yang sebenar.
Janganlah sibuk merencana rancangan mencuri ahli-ahli Parlimen sehingga keadaan ekonomi negara diabaikan.
HARIFF AHAMAT
Setiausaha Kerja UMNO Wilayah Persekutuan