SAUDARA PENGARANG,
WALAUPUN pendaftaran vaksin secara dalam talian dan manual sudah dimulakan, namun respons awam yang rendah bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menimbulkan kerisauan kita tidak mampu mencapai tahap imuniti kawanan dalam masa terdekat.
Jumlah yang mendaftar masih jauh daripada matlamat untuk menyuntik lebih 80 peratus penduduk dengan vaksin Covid-19 menjelang Mac 2022.
Bagi mempercepatkan pelaksanaan program imunisasi, kerjasama seluruh jentera kerajaan dan masyarakat amat diperlukan.
Ini harus melibatkan pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah, universiti dan penyedia perkhidmatan kesihatan dengan tujuan mempercepatkan proses imunisasi.
Untuk memastikan setiap penduduk menerima vaksin, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) dan jawatankuasa penduduk perlu memainkan peranan proaktif bagi memantau program vaksinasi di komuniti masing-masing.
Walaupun kerajaan dan media massa telah mengedarkan maklumat dalam bentuk infografik secara dalam talian, individu yang mempunyai akses terhad terhadap peranti digital mungkin tidak memahami proses dan kebaikan imunisasi sepenuhnya.
Oleh itu, kerajaan dan NGO perlu menyediakan maklumat dalam bentuk risalah untuk diedarkan ketika lawatan dari rumah ke rumah selain menyebarkan informasi berkaitan melalui akhbar atau majalah.
Demi memastikan semua rakyat diberi vaksin, kerajaan dan NGO perlu membantu warga tua untuk mendaftar vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera selain menjelaskan prosedur dan kemungkinan kesan sampingan imunisasi semasa mengadakan lawatan ke kediaman penduduk.
Di samping itu, Kementerian Kesihatan mungkin dapat mencontohi pendekatan Amerika Syarikat (AS) yang mengerahkan sejumlah besar sukarelawan bagi melancarkan program vaksinasi.
Selain pelajar perubatan, kejururawatan, farmasi dan fakulti kesihatan, sukarelawan vaksin itu juga dapat dibentuk di peringkat akar umbi dengan mengerahkan para pakar klinikal yang telah bersara atau tidak bekerja.
Antara tugas mereka adalah menyuntik vaksin dan memantau individu yang baharu menerima vaksin khususnya di kawasan perumahan kos rendah dan rumah perlindungan bagi gelandangan dan mangsa keganasan rumah tangga.
Dengan mengerahkan sukarelawan vaksin secara besar-besaran, Kementerian Kesihatan dapat mempercepatkan pengagihan vaksin Covid-19 di seluruh negara selain memastikan dos diedarkan secara adil dan saksama kepada setiap warganegara.
Bagi mempercepatkan proses imunisasi, kerajaan harus mempertimbangkan pendekatan Indonesia yang bekerjasama dengan syarikat swasta seperti Grab bagi melaksanakan vaksinasi secara pandu lalu.
Dalam pada itu, bagi menangani masalah pusat vaksinasi tidak mencukupi di Sabah dan Sarwak, kedua-dua kerajaan negeri boleh mewujudkan perkhidmatan doktor terbang (flying doctor) di kawasan pedalaman bagi memendekkan masa penghantaran dan penyuntikan vaksin.
Sebagai tambahan, setiap negeri juga perlu menubuhkan sebuah jawatankuasa pengawasan awam untuk mengkaji dan melaporkan keberkesanan program imunisasi.
AMANDA YEO
Penganalisis penyelidik di EMIR Research