Program imunisasi sangat berfaedah - Utusan Malaysia

Program imunisasi sangat berfaedah

ORANG ramai menyaksikan Muhyiddin Yassin disuntik vaksin Pfizer-BioNTech sebagai memberi keyakinan kepada rakyat terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KOMITMEN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menangkis tohmahan yang mengatakan vaksin itu tidak selamat serta memberi kesan sampingan yang serius.

Vaksin melalui proses sama seperti produk farmaseutikal lain yang sentiasa dipantau aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanannya serta diberikan kelulusan bersyarat berdasarkan pematuhan piawaian ketat melalui penilaian data-data saintifik, klinikal dan teknikal.

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) adalah badan yang bertanggungjawab untuk menilai vaksin yang hendak didaftarkan di Malaysia manakala Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) meluluskan penggunaan vaksin berdasarkan hasil penilaian NPRA dan dipantau dari aspek kepatuhan mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Strategi kerajaan adalah untuk memastikan sebanyak mungkin rakyat menerima suntikan vaksin yang diberikan secara percuma.

Vaksin yang akan dibekalkan secara berperingkat itu dikawal selia dan mematuhi Akta Racun 1952 (Akta 366), Akta Jualan Dadah 1952 (Akta 368), Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342). Kerajaan juga memperuntukan hampir RM3 bilion untuk melindungi hampir 27 juta rakyat melalui vaksinasi.

Dari segi hukum Islam, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam mengambil ketetapan bahawa hukumnya adalah harus dan ia wajib diambil golongan ditetapkan kerajaan. Malah, institusi fatwa dunia turut memfatwakan keharusan penggunaan vaksin.

Bagi melaksanakan PICK ini, Malaysia dan China menandatangani perjanjian bilateral bagi memberikan keutamaan dalam mendapatkan akses vaksin yang dihasilkan oleh negara tersebut selain untuk perkongsian ilmu, kepakaran dan memudahkan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi selaras dengan hasrat untuk memajukan industri vaksin kedua-dua negara.

Ekonomi negara dijangka mencatatkan pertumbuhan positif apabila program suntikan vaksin itu dilaksanakan. Bank Dunia menerusi Ketua Ahli Ekonomi Bahagian Makroekonomi, Amalan Global Perdagangan dan Pelaburan, Richard Record menganjurkan ekonomi Malaysia antara 5.6 hingga 6.7 peratus manakala pertumbuhan global dijangka sebanyak empat peratus, tahun ini.

SYAMSYUL SAMSUDIN
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya