SAUDARA PENGARANG,
PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac tahun lalu dilihat berjaya mengawal aliran trafik di jalan raya memandangkan sesetengah daerah dikenakan pergerakan bersyarat, pergerakan diperketat dan sebagainya.
Sektor pelancongan pula tidak aktif, malah beberapa perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas yang disambut secara bersyarat tahun lalu menyebabkan pergerakan orang ramai terbatas.
Tidak hairanlah pergerakan kenderaan yang sedikit dan terbatas ini membawa kepada pengurangan jumlah kemalangan dan kematian.
Berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia Bukit Aman pada April tahun lalu, kadar kemalangan menurun hampir 70 peratus sepanjang tempoh PKP fasa 1 dan 2.
Ketika itu, sepanjang 32 hari, hanya 145 kematian dicatatkan dengan purata empat kematian sehari berbanding 16 atau 17 kematian sebelumnya.
Kesan daripada pergerakan kenderaan yang semakin berkurang juga mencatatkan hanya 370 kemalangan sehari berbanding 1,500 sebelum PKP.
Bagaimanapun, berdasarkan statistik, kadar kematian membabitkan penunggang motosikal masih tinggi iaitu 3,118 daripada 4,634 kematian di jalan raya. Kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan oleh penunggang motosikal termasuk menunggang laju, tidak mematuhi lampu isyarat dan berlumba.
Ramai dalam kalangan mereka adalah penghantar makanan yang dikatakan mengejar trip sehingga mengabaikan ciri-ciri keselamatan ketika berada di jalan raya.
Apa pun, kita tetap berharap pemantauan berterusan ke atas pengguna jalan raya dilakukan oleh pihak berkuasa. Pemantauan ke atas penunggang motosikal termasuklah pencegahan aktiviti lumba haram dan rempit manakala usaha menangani pemandu mabuk dan pemandu yang buta had laju mestilah dipergiat agar kemalangan dapat dikurangkan.
Menurut Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Superintenden Dr. Bakri Zainal Abidin, kajian beberapa tahun lalu mendapati 90 peratus kemalangan berpunca daripada sikap pengguna, persekitaran (7 peratus) dan kenderaan (3 peratus).
Bagaimanapun, selepas tempoh PKP berakhir nanti, diharapkan angka kemalangan dan kematian tidak kembali naik seperti sebelum ini.
Sejak 2000, angka kematian melebihi 6,000 setahun sementara pada 2001 dan 2002 di bawah 6,000 dan sejak 2003 sehingga 2019 melebihi 6,000 orang terkorban.
Pada 2016, angka kematian mencecah 7,152 dan peratus tertinggi membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.
Setiap tahun, kita kehilangan ramai remaja sedangkan mereka inilah yang bakal dipertanggungjawabkan memajukan negara dalam pelbagai aspek.
M. JASNI MAJED
Penganalisis sosial dan bekas guru