Pensyarah mentor bantu jaya penyelidikan - Utusan Malaysia

Pensyarah mentor bantu jaya penyelidikan

KERATAN akhbar Utusan Malaysia 13 Mac 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA terpanggil untuk mengulas surat pembaca dalam ruangan ini bertarikh 13 Mac lalu bertajuk Bukan senang jadi pensyarah oleh Prof. Madya Dr. Khairunesa Isa dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor.

Secara umumnya, saranan dan penjelasan beliau mengenai tugas pensyarah meliputi pengajaran, penyelidikan, khidmat masyarakat dan penerbitan adalah amat tepat.

Sesungguhnya tugas pensyarah yang paling ketara pada hemat saya ialah berhubung dengan penyelidikan dan menghasilkan penerbitan jurnal berimpak tinggi. Hakikatnya, pengajaran dan khidmat masyarakat boleh dilakukan dengan baik dan cemerlang apabila ia berasaskan kepada penyelidikan dan penerbitan.

Atau lebih tepat lagi inovasi pengajaran dan pembelajaran (PnP) harus berasaskan penyelidikan. Begitu juga dengan khidmat masyarakat yang tidak hanya terbatas dengan kerja-kerja sosial yang bersifat asas seperti gotong-royong, tuisyen dan agihan sumbangan berbentuk material dan seumpamanya.

Sebaliknya khidmat masyarakat yang diasaskan daripada penyelidikan pasti lebih berkualiti, bersifat menyeluruh dan paling penting bersifat lestari seperti projek Universiti untuk Masyarakat (SULAM) yang diwujudkan dalam kursus universiti.

Namun, apabila berbincang mengenai penyelidikan dan penerbitan, apakah nasib pensyarah yang baru berjinak dengan dua bidang itu? Hal ini sangat menarik untuk diberi perhatian.

Khairunesa menyebut bahawa “mereka tertekan sehingga mengalami pelbagai penyakit.” Kenyataan itu mungkin menjadi benar jika pensyarah muda tidak belajar untuk membuat penyelidikan seawal memulakan kerjaya sebagai pensyarah. Namun hal ini boleh diatasi dengan merangka strategi berkesan dan memberi impak kepada perkembangan kerjaya mereka.

Seorang pensyarah baharu perlu mencari seorang mentor daripada kalangan senior untuk berjinak dengan penyelidikan dan penerbitan. Namun harus diingat konsep mentor ini tidak wajar disalah guna dengan berakhir sebagai free rider yang tidak memberi manfaat pengalaman dan ilmu berkenaan penyelidikan.

Justeru, mentor yang benar-benar dapat membantu amat penting untuk memastikan pensyarah baharu ini mampu memahami konsep penyelidikan dalam bidang masing-masing.

Bahkan mentor ini tidak semestinya pakar bidang yang sama, tetapi mempunyai prestasi yang cemerlang dalam penyelidikan dan penerbitan. Malangnya masih ramai pensyarah muda hanya membentuk kumpulan penyelidik dengan rakan sebaya yang tidak mempunyai pengalaman yang cukup untuk menjalankan penyelidikan.

Stigma bahawa penyelidikan dan penerbitan adalah tugas rumit dan mengundang tekanan harus dibuang dari sanubari seorang pensyarah. Sebaliknya melihat penyelidikan dan menerbitkan bahan akademik yang berkualiti dan signifikan sebagai tugas utama untuk memenuhi tanggungjawab sebagai seorang pensyarah.

PROFESOR DR. AZMAN CHE MAT
UiTM Cawangan Terengganu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya