SAUDARA PENGARANG,
SEBELUM ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan Wilayah Persekutuan sebagai Wilayah Bebas Berniaga (WBB) selama enam bulan.
Tempoh pelaksanaan WBB bermula 15 November lalu sehingga 15 April ini menawarkan Lesen Sementara KL Prihatin daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Langkah memperkenalkan WBB mencerminkan sifat prihatin dan empati kerajaan. WBB membolehkan orang ramai berniaga tanpa kekangan undang-undang dan peraturan.
Namun, pada awal bulan lalu, penguat kuasa DBKL mengeluarkan notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 kepada 11 peniaga di WBB Jalan Desa Rejang 1, Setapak kerana didapati berniaga tanpa Lesen Sementara KL Prihatin.
Walaupun penguat kuasa DBKL hanya menjalankan tugas, sepatutnya kerajaan melonggarkan langkah-langkah penguatkuasaan selagi ada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dari segi kebersihan dan syarat-syarat penting lain.
Dalam erti kata lain, pihak berkuasa perlu lebih bersikap empati dalam aktiviti penguatkuasaan mereka selagi asasnya ada.
Dalam kerangka peraturan WBB yang lebih longgar, pihak berkuasa harus menerapkan sikap dan pendekatan fleksibel dalam menangani ketidakpatuhan.
JASON LOH SEONG WEI
Bukit Damansara, Kuala Lumpur