SAUDARA PENGARANG,
PADA tahun lepas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama, dua wanita Mongolia telah dirogol oleh seorang anggota polis yang menyalahgunakan kuasanya untuk menahan mereka ketika sekatan jalan raya dan membawa kedua-duanya ke sebuah hotel.
Kejadian itu seharusnya menjadi pengajaran kepada semua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tidak menyalahgunakan kuasa dan melakukan gangguan seksual.
Namun, dengan berulangnya insiden anggota polis menganggu seorang wanita yang tidak memakai baju dalam dengan menyuruhnya membuka baju dan menunjukkan kepadanya semasa sekatan jalan raya yang dijalankan baru-baru ini menunjukkan bahawa PDRM gagal mendisiplinkan anggotanya.
Wanita sering menjadi mangsa gangguan seksual sama ada di rumah, tempat kerja atau di jalan raya. Apa yang amat membimbangkan terdapat dalam kalangan pelaku ialah anggota yang bertanggungjawab menjaga keselamatan. Kejadian seperti ini akan menimbulkan rasa tidak selamat dan curiga dalam kalangan wanita.
Kejadian tersebutmembuktikan betapa pentingnya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan segera bagi mengimbangi kuasa polis dan mengelakkan anggotanya menyalah guna kuasa.
Turut disambut baik ialah pengumuman Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun baru-baru ini bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat akan datang. Dengan adanya RUU itu, diharapkan kejadian seperti itu dapat dikurangkan atau tidak berlaku lagi.
BIRO GENDER PARTI SOSIALIS MALAYSIA (PSM)
Brickfields, Kuala Lumpur