Pantau kebersihan peniaga ‘ekspres’ - Utusan Malaysia

Pantau kebersihan peniaga ‘ekspres’

PENGGUNA berhak memperoleh makanan bersih dan suci hasil daripada wang yang mereka belanjakan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGLIBATAN masyarakat dalam aktiviti perniagaan makanan terutama ketika pandemik Covid-19 amat ketara.

Kita maklum, keadaan ekonomi yang terdesak menjadi pemangkin kepada mereka untuk giat mencuba nasib berniaga secara kecil-kecilan demi memastikan kelangsungan hidup keluarga terus terjamin terutama dalam kalangan bumiputera Islam.

Pelbagai kaedah perniagaan diceburi sama ada secara dalam talian mahupun membuka gerai atau sekadar berniaga dari but kereta. Usaha murni mereka amat disokong dan digalakkan.

Sekurang-kurangnya mereka tidak meminta-minta atau lebih teruk lagi jika terjebak dalam melakukan aktiviti yang terkeluar daripada batas undang-undang.

Namun pada masa sama, faktor kesihatan peniaga serta kebersihan perlu diberi perhatian.

Sebagai pengguna, kita amat prihatin dengan bahan yang kita makan lebih-lebih lagi apabila diperoleh daripada peniaga ‘ekspres’ sebegini.

Janganlah dek kerana ingin menjana pendapatan, hak pengguna diabaikan. Dari segi kesihatan misalnya, sudahkah mereka melalui pemeriksaan yang diwajibkan oleh pihak berkuasa kesihatan?

Dari sudut kebersihan pula, apakah jaminan pengguna yang makanan tersebut bersih sejak dari peringkat penyediaan, pengendalian seterusnya di meja jualan? Paling ketara apabila ia diniagakan di gerai terbuka.

Sering kita lihat, faktor kebersihan diabaikan apabila makanan disusun di atas meja yang dibiarkan terdedah tanpa ditutup dan ada kes dihinggapi lalat serta dicemari debu.

Para peniaga perlu peka dengan hal ini. Pengguna berhak memperoleh makanan bersih dan suci hasil daripada wang yang mereka belanjakan.

Apa pun, kita masih menaruh kepercayaan terdapat ramai yang mematuhi peraturan ditetapkan.

Bagi memupuk kesedaran, selain pemeriksaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan, khutbah Jumaat boleh menyelitkan isu berkaitan ehwal yang berlaku di sekeliling anak kariah termasuk peringatan kepada peniaga supaya mengutamakan kebersihan.

PENGGEMAR MAKANAN
Bandar Enstek, Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya