SAUDARA PENGARANG,
SAYA sangat bersetuju dengan saranan Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Profesor Datuk Dr. Aripin Said dan pakar sejarah, Profesor Dr. Ramlah Adam supaya buku teks Sejarah bagi tingkatan empat ditulis semula.
Menurut kedua-dua pakar sejarah ini, kandungan buku tersebut menerapkan ideologi komunis dan fakta penting diketepikan sementara yang tidak penting ditonjolkan dan diperbesarkan.
Pun begitu, menurut Kementerian Pendidikan, buku teks tersebut mematuhi semua proses penerbitan bagi menjamin kualiti termasuk ketepatan fakta serta diperakui oleh Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah.
Oleh kerana wujud perbezaan pandangan, sebagai jalan tengah untuk menjamin fakta tidak dimanipulasi, maka pengkisahan sejarah memerlukan kajian semula secara mendalam oleh pakar sejarah di Kementerian Pendidikan.
Mereka perlu duduk semeja dan membina rumusan agar memperoleh penceritaan adil dengan fakta yang benar serta memperbesarkan kejadian penting sahaja. Kejadian yang dianggap kecil dan tidak membawa kesan kepada peristiwa sejarah yang dipaparkan hendaklah diringkaskan.
Bagi pelajar pula, pengkisahan sejarah yang ringkas, mudah dan tidak berjela-jela seronok untuk dipelajari dan tidak membosankan. Begitu juga jika fakta di dalamnya dimanipulasi untuk kepentingan puak tertentu, maka pemikiran pelajar yang masih mentah mudah diserap dengan penceritaan yang tidak benar serta tidak selari dengan aspirasi negara, Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan.
Lihat sahaja pengajaran tulisan Jawi di tahun empat telah dipendekkan menjadi dua helaian akibat dimanipulasikan oleh puak tertentu. Itu pun masih perlu mendapat kebenaran penjaga untuk belajar tulisan Jawi. Kita tidak mahu pihak tertentu memanipulasi fakta sejarah negara ini ekoran mempunyai agenda tersendiri.
ABDUL HAMID
Temerloh, Pahang