SAUDARA PENGARANG,
PERANAN teknologi digital semakin ketara sejak setahun lalu apabila penularan pandemik Covid-19 memberi cabaran getir dalam meneruskan kehidupan.
Penguasaan teknologi digital merupakan kunci untuk sesebuah negara mengatasi batasan produktiviti, sekali gus menaik taraf ekonomi.
Peniaga secara khususnya harus merebut peluang yang muncul daripada teknologi digital. Model perniagaan inovatif memainkan peranan yang amat penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Sejajar dengan itu, satu inisiatif oleh kerajaan iaitu MyDIGITAL dilancarkan pada 19 Februari lalu bagi meningkatkan literasi digital, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, menjadikan urusan perbankan lebih mudah dan teratur serta memberikan akses pendidikan secara maya kepada pelajar.
Inisiatif itu diramalkan menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara menjelang 2030. Ini dapat dilihat dari aspek penambahbaikan yang dilakukan terhadap peniaga yang sudah mula menaik taraf perniagaan daripada konvensional kepada dalam talian melalui e-dagang.
Bagi memastikan inisiatif MyDIGITAL mencapai semua sasaran ditetapkan, dua aspek penting harus diambil kira seperti pertama, melibatkan sumber manusia yang terdiri daripada peniaga dan pembeli.
Ini kerana peniaga perlu memiliki kemahiran untuk mentransformasi perniagaan ke arah pendigitalan. Sebagai contoh, peniaga digalakkan menghadiri kursus untuk memasarkan produk mereka secara dalam talian.
Kerajaan juga menyediakan banyak latihan melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang menawarkan lebih 3,800 kursus secara percuma.
Kedua, kemudahan infrastruktur yang lengkap seperti internet memainkan peranan penting dalam usaha memastikan inisiatif itu berjalan lancar. Ia membabitkan langkah penambahbaikan terhadap kesalinghubungan dan teknologi mudah alih generasi kelima (5G).
DR. NURAZILAH ZAINAL
Universiti Teknologi Mara (UiTM