SAUDARA PENGARANG,
TINDAKAN Pembangunan Bumiputera (TPB) 2030 (TPB) yang diperkenalkan pada 26 Januari lalu memberi fokus kepada pemerkasaan ekonomi dan sosioekonomi bumiputera. Ia mengariskan enam bidang penting iaitu penyampaian perkhidmatan, modal insan, pemilikan kekayaan, keusahawanan, ekuiti korporat serta tanah rizab Melayu, wakaf dan adat.
Dengan memfokuskan aktiviti penjanaan ekonomi tambahan, ia dilihat memiliki kekuatan sendiri yang mampu membantu bumiputera bukan sahaja menjana pendapatan lumayan tetapi turut menikmati nilai tambah seperti mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. Selain itu, penglibatan mereka dalam industri kreatif juga dilihat sebagai peluang yang harus diperkukuhkan.
Selain itu, penetapan sasaran peningkatan aset kewangan amat penting dan signifikan. Ini kerana sumber pendapatan isi rumah dalam pelaburan dan harta bumiputera hanyalah 11.4 peratus berbanding kumpulan etnik lain sebanyak 13.5 peratus berbanding India dan Cina dengan 15.6 peratus. Bagaimanapun, bagi mendapatkan hasil berkualiti, kiraan aset kewangan seperti ekuiti haruslah melihat kepada pegangan oleh kumpulan etnik bumiputera sahaja dan tidak termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) seperti dibentangkan dalam buku Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Fokus kepada pembanterasan monopoli, pencatutan dan sabotaj ekonomi juga perlu diberi perhatian kerana unsur tersebut menjadi barah kepada pencapaian agenda bumiputera. Oleh itu, tindakan segera perlu diambil terutama dalam bidang penyampaian perkhidmatan dan keusahawanan.
Diharap cadangan penambahbaikan ini dapat membantu dalam pelaksanaan TBP 2030 secara efektif dan hasil yang diidamkan dalam peningkatan taraf ekonomi bumiputera dapat dicapai.
Pelaksanaan intervensi kerajaan dalam perkara ini perlulah dilakukan dengan lebih telus dan proaktif terutama dalam membasmi amalan ali baba dan kronisme.
AMIRUL HAMZA ABDULLAH
Penganalisa Penyelidikan
Institut Masa Depan Malaysia