SAUDARA PENGARANG,
PADA awal bulan ini, polis mengesahkan kematian kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di rumah pengasuhnya di Permatang Damar Laut, Pulau Pinang bukan disebabkan mati lemas tetapi berpunca daripada proses bantuan pernafasan (CPR) yang dilakukan wanita berusia 43 tahun yang menjaganya.
Mangsa, Sophia Fatehah Wan Farhan Danial dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang selepas ditemukan lemas dalam besen di bilik air rumah pengasuhnya itu.
Hasil bedah siasat oleh pakar perubatan forensik mendapati berlaku kebocoran pada organ perut mangsa sehingga menyebabkan pendarahan dan pembekuan sistem darah.
Kecederaan tersebut kemungkinan berdasarkan usaha proses CPR yang dilakukan oleh pengasuh untuk menyelamatkan si mati setelah terjatuh ke dalam besen air.
Bagaimanapun, Persatuan Resusitasi Malaysia (MyRES) memandang serius tajuk berita tidak tepat yang disiarkan dalam media massa kerana boleh menimbulkan kekhuatiran dalam kalangan masyarakat untuk memulakan CPR kepada mangsa yang memerlukannya.
Tajuk yang mengaitkan CPR dengan kematian boleh disalah tafsir dan menyebabkan masyarakat memberi persepsi negatif terhadap respons CPR.
Penularan maklumat yang tidak tepat akan menyebabkan mangsa yang memerlukan CPR mungkin tidak diberikan perawatan sewajarnya. Oleh yang demikian, peluang mangsa untuk hidup menjadi amat tipis.
Sekiranya CPR tidak dimulakan awal, sel-sel otak akan mulai mati dalam masa empat minit. Dalam situasi lemas di mana mangsa didapati tidak bernafas, memulakan CPR adalah satu tindakan betul yang bertepatan dengan keperluan pada masa tersebut.
Dalam kes Sophia Fatehah, CPR memberi peluang untuk kanak-kanak tersebut diselamatkan kerana tindakan itu akan membolehkan mangsa kembali bernafas. Tindakan selanjutnya adalah rawatan di hospital seperti yang berlaku dalam kes ini.
Ingin dijelaskan, dalam melakukan CPR, beberapa komplikasi mungkin berlaku, namun kajian serta data saintifik menunjukkan insiden sedemikian amat jarang sekali terjadi.
Jika pun berlaku, ia adalah komplikasi yang boleh dirawat setelah pesakit kembali bernafas. Sekiranya tiada CPR dimulakan, pesakit pasti meninggal dunia dan tiada rawatan susulan dapat menyelamatkan nyawanya.
Adakalanya tindakan CPR berjaya dan ada ketikanya tidak. Semuanya bergantung kepada pelbagai faktor termasuk berapa teruk kesan tiada oksigen ke otak dan punca sebenar yang menyebabkan mangsa berhenti bernafas atau mengalami kegagalan jantung.
Yang penting, tindakan memulakan CPR adalah respons yang perlu untuk menyelamatkan mangsa.
MyRES berharap masyarakat tidak teragak-agak untuk memulakan CPR terhadap mangsa yang memerlukan dan terus melakukannya sementara menunggu pasukan penyelamat tiba.
Dalam situasi sebegini, panggilan kecemasan perlu segera dilakukan dan petugas dari Pusat Panggilan Kecemasan 999 akan membantu perawat dengan memberikan panduan membuat CPR sementara menunggu pasukan penyelamat sampai.
CPR adalah amat penting untuk dimulakan segera bagi pesakit yang berhenti bernafas kerana kelewatan atau tiada CPR bererti mati yang pasti dan mangsa hilang semua peluang untuk diselamatkan.
MyRES
Kuala Lumpur