SAUDARA PENGARANG,
INISIATIF Utusan Malaysia mewujudkan ruangan Lipatan Sejarah adalah satu langkah positif bagi mengimbau peristiwa lampau yang pernah dibuat liputan dan disiarkan di akhbar berkenaan.
Jika radio dan televisyen misalnya ada slot Hari Ini Dalam Sejarah yang menyingkap peristiwa-peristiwa penting negara tersimpan dalam koleksi Arkib Negara, Lipatan Sejarah di akhbar Utusan Malaysia tidak kurang pentingnya dalam memaparkan peristiwa berlaku belasan malah puluhan tahun lalu.
Ini secara tidak langsung memberi ruang kepada pembaca khususnya golongan lama yang pernah membaca berita itu apabila disiarkan lama dahulu menatapnya kembali.
Walaupun cuma ‘cebisan’ yang dipaparkan, namun cukup bermakna kerana mereka dapat melihat kembali lembaran asli akhbar kesayangan ketika itu.
Suatu ketika, saya gemar menyimpan keratan akhbar untuk dibuat rujukan apabila diperlukan.
Sering terjadi apabila berpindah rumah atau pejabat, bahan paling banyak yang perlu dilupuskan adalah timbunan keratan akhbar.
Sementelah dahulu belum ada teknologi digital untuk membolehkan keratan akhbar disimpan secara bukan fizikal.
Syabas Utusan Malaysia. Diharapkan ruangan berkenaan kekal dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
ZEK NASUTION
Seremban, Negeri Sembilan