SAUDARA PENGARANG,
SYABAS saya ucapkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang telah mengadakan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menahan berpuluh-puluh anggota jabatan itu yang menyeleweng dalam Operasi Sukat baru-baru ini.
Langkah itu adalah bagi memastikan jabatan berkenaan sentiasa bersih daripada sebarang elemen salah guna kuasa serta gejala rasuah yang mengakibatkan ketirisan hasil negara. Ini membuktikan jabatan itu tidak berkompromi dengan sebarang kegiatan boleh menjejaskan reputasi dan nama baik JPJ berhubung aspek integriti.
Operasi secara besar-besaran di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Melaka itu adalah bagi menahan anggota JPJ yang disyaki melindungi pemandu lori melakukan kesalahan seperti membawa muatan lebih serta tidak memenuhi aspek teknikal kenderaan.
Dalam pada itu, saya berharap SPRM melakukan penyamaran bagi menahan anggota JPJ yang terbabit dalam pengeluaran lesen terbang yang saya dapati masih lagi berleluasa.
Turut dikenali sebagai lesen kopi-O, ia merujuk kepada lesen memandu yang diperoleh secara tidak sah dengan membayar pihak tertentu tanpa perlu menduduki ujian bertulis dan praktikal.
Iklan tawaran lesen memandu seperti ini saya lihat rancak disebarkan dalam media sosial dengan kadar bayaran dikenakan antara RM180 hingga RM700 mengikut jenis lesen.
Gejala itu mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain kerana kewujudan pemandu-pemandu tidak cekap yang dihasilkan dengan mengambil lesen terbang.
Selain rakyat Malaysia, saya juga mendapati warga asing memilih membeli lesen terbang sebagai jalan mudah untuk memiliki lesen kenderaan di negara ini.
MAT KAPCAI
Kuala Kangsar, Perak