Layan semua orang sama adil - Utusan Malaysia

Layan semua orang sama adil

JIKA seseorang itu tidak menjalani tempoh kuarantin yang sepatutnya, dibimbangi boleh meningkatkan lagi risiko penyebaran virus Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, kita didedahkan dengan kewujudan peraturan baharu mengecualikan menteri yang pulang dari lawatan rasmi luar negara daripada menjalani pemerhatian atau pengawasan 10 hari seperti dilalui rakyat biasa.

Peraturan baharu itu menyatakan, menteri hanya perlu menjalani pemerhatian selama tiga hari atau pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai. Peraturan baharu itu berkuat kuasa 9 Februari lalu sehingga 1 Ogos ini.

Proses pemerhatian dan pengawasan atau lebih dikenali sebagai tempoh kuarantin adalah penting untuk dilalui semua pihak ketika menghadapi penularan pandemik Covid-19.

Tujuan kuarantin supaya kita boleh mengesan sebarang gejala sepanjang tempoh inkubasi antara dua hingga 12 hari. Sekiranya seseorang tidak menjalani tempoh kuarantin yang sepatutnya, dibimbangi boleh meningkatkan lagi risiko penyebaran virus berkenaan.

Sekiranya sesebuah peraturan hanya dirangka khusus untuk orang tertentu manakala sebilangan lain tidak perlu mengikutinya, dibimbangi boleh mengundang perasaan marah dan tidak puas hati banyak pihak.

Justeru, adalah penting setiap peraturan yang ingin dirangka dikuatkuasakan secara sama adil kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang mereka.

Ketegasan dalam menguat kuasa peraturan penting sekiranya kita ingin memastikan negara bebas sepenuhnya daripada ancaman Covid-19.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN