SAUDARA PENGARANG,
CUKUP dikesalkan dengan kejadian pencemaran Sungai Ketil, Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini yang berulang kali berlaku sejak empat tahun lalu. Ini kerana tiada tindakan berkesan diambil oleh pihak berkaitan bagi mengatasinya.
Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) perlu segera menyiasat masalah itu serta mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang bertanggungjawab mencemarkan sungai tersebut.
Di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang didapati bersalah melanggar peraturan yang termaktub di bawahnya boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua duanya.
Mengulas laporan Utusan Malaysia pada 2 Mac lalu mengenai ribuan bangkai ikan ditemukan terapung di permukaan Sungai Ketil, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang dan percaya jika keadaan itu dibiarkan berterusan, ikan yang terdapat di dalam sungai tersebut akan pupus pada masa akan datang sekali gus menjejaskan sumber pendapatan penduduk tempatan.
Difahamkan, Sungai Ketil sebelum ini adalah lubuk ikan kelah selain kawasan rekreasi seisi keluarga.
CAP menggesa kerajaan negeri Kelantan mendedahkan hasil siasatan punca pencemaran tersebut dan tindakan undang-undang yang diambil oleh pihak berkuasa ke atas mereka yang didapati bersalah melakukannya.
MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden CAP