SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin membangkitkan satu isu penting iaitu betapa aliran politik menentukan cara keputusan dibuat oleh kerajaan negeri.
Sewaktu Covid-19 bermaharajalela dan kerajaan Pusat melalui Kementerian Kesihatan mengatur gerak terutama melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua negeri pembangkang ingin melonggarkannya dengan cara sendiri kononnya untuk menggerakkan aktiviti di tempat masing-masing.
Ternyata Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 adalah terpakai untuk semua negeri kecuali Sarawak yang mempunyai aktanya sendiri. Negeri-negeri lain tidak mempunyai kuasa untuk tidak mematuhi PKP.
Terbukti tindakan berkenaan memberi kesan buruk apabila negeri-negeri itu menyaksikan lonjakan kes Covid-19 secara mendadak. Bayangkan sekiranya negeri-negeri lain melakukan perkara sama, kes pandemik terbabit akan menjadi lebih buruk.
Timbul pula baru-baru ini, sebuah negeri pembangkang ingin membeli vaksin sendiri walhal kerajaan Pusat telah mengumumkannya akan diberikan kepada semua rakyat termasuk bukan warganegara.
Langkah kerajaan negeri itu tidak kena pada tempatnya dan hanya membazirkan wang. Ini menunjukkan perbezaan fahaman politik menyebabkan kerajaan negeri membuat keputusan yang berbeza.
Mungkin apa yang berlaku itu dapat memberi petunjuk bahawa kita masih tidak mempunyai wawasan negara yang luas sebaliknya masih terikat dengan fahaman politik kepartian yang sempit.
Ketidaksepakatan ini menyukarkan kita menyelesaikan isu-isu besar seperti Covid-19. Oleh itu, marilah kita satu hati dalam perang melawan Covid-19.
Ini bukan perang politik yang mahu menunjuk siapa yang lebih tera (pandai) mengatur negara. Semoga kita dapat sama-sama menjalankan kempen vaksinasi ini secara matang.
BADRUDDIN
Petaling Jaya