Kenapa sangsi kebolehan wanita? - Utusan Malaysia

Kenapa sangsi kebolehan wanita?

GOLONGAN wanita perlu diberi peluang untuk memegang jawatan tinggi bagi membuktikan kemampuan merek menguasai pelbagai bidang. – GAMBAR HIASAN/forbes.com
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-baru ini, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz kecewa apabila peranan wanita dalam memikul tanggungjawab dan jawatan tinggi di sektor swasta masih di bawah 30 peratus sedangkan golongan tersebut telah membuktikan kemampuan menguasai pelbagai bidang.

Menurut Rafidah, kuota tersebut tidak perlu wujud kerana wanita perlu diberikan lebih banyak peluang menerajui sektor kerajaan dan swasta berdasarkan merit serta kelayakan mereka.

Saya bersetuju dengan saranan Rafidah untuk menghapuskan kuota tersebut kerana ia memberi kesan kepada kemajuan negara.

Faktor jantina tidak sepatutnya menjadi penghalang atau kayu ukur kemampuan untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan. Ini kerana wanita hari ini semakin kuat, berpelajaran tinggi dan mampu berdepan cabaran.

Justeru, mereka juga boleh memikul tanggungjawab dan peranan sama seperti lelaki dalam pelbagai bidang. Malaysia sudah mempunyai nama-nama besar seperti Datin Vivy Yusuf, Datuk Nicol David, Dr. Amalina Bakri, Neelofa dan ramai lagi.

Dalam memastikan wanita diangkat, mereka perlu bersiap sedia dari awal dengan menimba ilmu dan sentiasa positif ketika diberi tugasan berat kerana ini akan mengajar golongan ini untuk lebih kuat dan berjaya setanding lelaki.

Wanita juga perlu memiliki sifat pemimpin agar tidak dipandang rendah dan disalah anggap ketika memikul tanggungjawab besar. Ini kerana kredibiliti mereka akan mempengaruhi pekerja untuk mengikut arahan dengan baik.

Mereka juga harus bijak mengawal emosi agar tidak mengganggu urusan kerja kerana antara sebab mengapa wanita tidak dilantik ke jawatan penting kerana anggapan golongan itu kerap bermain emosi ketika bekerja sehingga menjadikan persekitaran pekerjaan menjadi suram.

Selain itu, wanita juga perlu optimis sepanjang masa serta menerima pandangan pihak lain dengan baik kerana ia akan menjadi petanda aras sama ada mereka merupakan pemimpin yang baik atau sebaliknya. Perbincangan yang baik selalunya berakhir dengan keputusan cemerlang.

MARIAM SABBRY
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya