Kebebasan bersuara terancam - Utusan Malaysia

Kebebasan bersuara terancam

UTUSAN Malaysia 20 Februari 2021
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang mendapati portal berita, Malaysiakini bersalah kerana menghina mahkamah telah mencetuskan kebimbangan banyak pihak berkaitan implikasinya terhadap kebebasan media di Malaysia.

Malaysiakini telah didenda RM500,000; sementara Ketua Pengarangnya, Steven Gan, didapati tidak bersalah menghina mahkamah.

Kes itu berlandaskan komen pihak ketiga iaitu pembaca Malaysiakini mengenai satu artikel diterbitkan pada tahun lalu. Portal berita tersebut didapati bersalah di bawah Seksyen 114A, Akta Keterangan (Pindaan) (No. 2) 2012, yang menganggap Malaysiakini bertanggungjawab ke atas komen-komen yang menyinggung pihak lain.

Seksyen 114A yang dimasukkan ketika pindaan akta itu pada 2012 jelas mengandaikan kesalahan terletak pada pihak yang menyediakan ruangan komen pada blog, forum dan pengendali laman web walaupun maklumat tersebut ditulis oleh pihak lain.

Andaian bersalah itu bertentangan dengan prinsip keadilan yang asas. Keputusan mahkamah terhadap Malaysiakini mengukuhkan lagi kebimbangan bahawa penggunaan Seksyen 114A itu mengancam kebebasan bersuara dalam talian.

Keputusan itu memberi pelbagai implikasi terhadap media kita, khususnya portal berita dalam talian mengenai sejauh manakah tanggungjawab mereka. Portal seperti Malaysiakini sekarang dianggap harus bertanggungjawab terhadap komen yang dikemukakan oleh pihak ketiga.

Ini bukan sahaja memerlukan sumber dan tenaga kerja yang lebih ramai untuk menyaring komen yang menyinggung pihak lain, apatah lagi dengan jumlah komen yang banyak, tetapi juga akan menjadi satu bentuk penapisan dan mengurangkan kebebasan bersuara pembaca.

Keputusan terhadap Malaysiakini juga menimbulkan kemungkinan portal berita dalam talian diwajibkan membuang bahagian komen masing-masing untuk mengurangkan bebanan tanggungjawab yang perlu dipikul terhadap komen yang dibuat pihak ketiga.

Ini bererti pembaca kehilangan suara untuk mengkritik, memberi pendapat mereka sendiri dan menyatakan pendapat yang berbeza atau posisi alternatif, khususnya mengenai isu yang melibatkan kepentingan awam. Keputusan mahkamah itu turut mencabar kebebasan bersuara orang ramai yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan kerajaan serta mahkamah untuk mengadili Malaysiakini telah meletakkan beban yang berat kepada media dalam talian dan menekan kebebasan media di Malaysia.

Ia adalah tambahan kepada situasi yang kita sering lihat wartawan dan pengendali portal berita disiasat oleh polis dan didakwa di mahkamah atas laporan mereka. Operasi kawalan media di Malaysia menjadi lebih ketat lebih dari sebelumnya sejak pertukaran pemerintahan kepada kerajaan baharu pada tahun lalu.

Diramalkan Malaysia menjadi lebih autoritarian (kurang memberi keutamaan kepada hak individu) sekiranya kerajaan terus menghukum dan mengugut media dengan cara ini.

Sama-samalah kita berdiri dalam solidariti dengan Malaysiakini dan menyatakan tidak bersetuju dengan intimidasi kerajaan yang mengancam kebebasan bersuara dan kebebasan media.

WATHSHLAH G. NAIDU
Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya