SAUDARA PENGARANG,
MALAYSIA bukan negara pertama mengisytiharkan darurat, sebaliknya terdapat 79 negara lain turut melaksanakannya sebagai langkah memerangi penularan pandemik Covid-19.
Langkah sedemikian diambil apabila sesebuah negara tidak lagi dapat mengawal penularan pandemik sehingga menyebabkan kapasiti dan kemampuan jentera dalam sektor kesihatan awam berada pada paras maksimum.
Keadaan jangkitan semasa Covid-19 di Malaysia jelas menunjukkan perlunya perhatian serta tindakan drastik dan proaktif oleh pihak berwajib yang jauh lebih penting daripada perdebatan politik.
Antara perkara penting untuk diberi perhatian termasuklah mengutamakan kebajikan rakyat seperti bantuan kewangan. Kerajaan juga perlu lebih proaktif dalam menggerakkan pelan pemulihan yang lebih kondusif dan komprehensif ketika Parlimen tidak bersidang.
Bantuan berbentuk penangguhan bayaran pinjaman juga perlu diperluas, dipermudah dan dipanjangkan tempohnya. Selain itu, kerajaan juga boleh menggunakan tempoh ini dengan memaksimumkan pengurangan pengangguran menerusi program berkonsep job guarantee dengan tawaran pekerjaan seperti penjaga warga emas atau pembantu operasi dalam sektor kerajaan.
Selain pengagihan vaksin, sistem pengesanan virus Covid-19 perlu lebih pantas dan dilakukan secara skala besar. Langkah sebegini mampu membantu membekalkan maklumat tindak balas keberkesanan vaksin yang digunakan.
Tanpa sebarang gangguan politik dan pemusatan kuasa dalam pengurusan negara ketika ini, perhatian seharusnya lebih diberikan kepada aktiviti pemulihan perniagaan terutama bagi mereka yang bekerja sendiri. Tempoh moratorium dan tawaran geran bantuan juga harus dilanjutkan lagi sekurang-kurangnya sehingga Ogos ini.
Program bantuan kewangan kepada peniaga sedia ada juga perlu diberi perhatian dengan mempercepatkan proses pengagihan serta memudahkan syarat dan kaedah permohonan.
Tumpuan kepada perkara-perkara seperti ini semestinya dapat membantu menjana semula ekonomi negara yang terjejas teruk akibat Covid-19 dan ketidakstabilan politik.
Pengawasan pasaran dan ekonomi berunsurkan monopoli sewaktu tempoh darurat ini wajar dipuji dan disokong. Ini kerana kesan kepada perkara tersebut membimbangkan terutama mereka yang kehilangan pekerjaan dan kekurangan sumber pendapatan isi rumah.
Akta Sabotaj Ekonomi juga wajar untuk diperincikan dan terus digunakan walau bukan dalam tempoh darurat.
Kami mengharapkan pelaksanaan darurat ini dapat membendung penyebaran Covid-19 serta menjadi platform perubahan positif untuk melihat kebajikan dan keselamatan rakyat sebagai fokus utama dengan melaksanakan aktiviti pemulihan dan pembangunan ekonomi secara inklusif dan lestari. Pemulihan elemen demokrasi dalam Perlembangaan juga diharap dapat diberi tumpuan selepas tempoh darurat ditamatkan.
AMIRUL HAMZA ABDULLAH
Penganalisa Penyelidikan
Institut Masa Depan Malaysia (MASA)