SAUDARA PENGARANG,
Empat atau lima bulan lagi Parlimen akan mula bersidang selepas arahan pengisytiharan proklamasi darurat yang berkuat kuasa 11 Januari lalu hingga 1 Ogos ini tamat.
Oleh itu, ahli Parlimen diminta menggunakan peluang ini bagi berbahas mengenai keputusan sama ada melompat parti dibenarkan atau sebaliknya. Ini kerana isu tersebut berulang kali berlaku.
Contohnya, Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU-14) pada 2018 menyaksikan UMNO memenangi 54 kerusi menggunakan lambang Barisan Nasional (BN). Namun, selepas PRU-14 terdapat pula tawaran daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan dua ahli Parlimen UMNO melompat parti. Justeru, isu sebegini perlu dibahaskan secara terperinci di Parlimen sama ada tindakan ini dibenarkan atau sebaliknya.
Pada pandangan saya, isu tersebut perlu diberi kelonggaran kerana tindakan berkenaan tidak menjejaskan parti.
Ini kerana kerusi Parlimen masih kekal milik parti walaupun terdapat pemimpin berhijrah ke parti lain. Namun, ia menjadi masalah jika berlaku sebaliknya.
Pemimpin yang melompat parti sepatutnya hilang kelayakan sebagai wakil rakyat kerana mereka bertanding menggunakan tenaga kerja parti asal, selain menggunakan tiket lambang parti yang dimenangi.
Oleh itu, Akta Lompat Parti hendaklah diwartakan sebelum PRU-15 bagi memastikan perkara ini tidak berulang.
Walaupun begitu, usaha ini tidak terpakai kepada ahli Parlimen yang bertanding atas tiket Bebas kerana mereka boleh melompat parti pada bila-bila masa sahaja.
OMAR LOLO
Kuala Lumpur