SAUDARA PENGARANG,
WALAUPUN sesi persekolahan bersemuka mula dilaksanakan secara berperingkat, tidak salah untuk kita melihat semula proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang diamalkan sebelum ini.
Segala kelemahan perlu diperbaiki khususnya bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai perlunya mereka memainkan peranan sepenuhnya jika PdPR dilaksanakan semula pada masa depan.
Penglibatan ibu bapa ketika sesi bersemuka sebelum ini agak minimum. Sebaik sahaja anak dihantar ke sekolah, ibu bapa menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada guru. Hanya sekali-sekala memantau perkembangan anak dan bertemu guru apabila perlu.
Namun, penglibatan ibu bapa dalam proses PdPR agak berbeza kerana harus seiring dengan penglibatan guru. Sekalipun berada di tempat kerja, ibu bapa memerlukan ‘orang tengah’ untuk menghubungkan guru dengan anak-anak mereka yang berada di rumah.
Menjadi ‘guru kedua’ di rumah dalam menjayakan proses PdPR adalah cabaran besar bagi ibu bapa. Bermula daripada menyediakan kemudahan dan peralatan berkaitan seperti komputer atau telefon berserta talian internet yang aktif sehinggalah buku teks, aktiviti dan latihan berkaitan serta peralatan alat tulis.
Mungkin ibu bapa mahir menggunakan WhatsApp dan Facebook sebagai saluran komunikasi, namun mereka tidak pernah mengenali Google Classroom, Google Meet, Zoom, Microsoft Teams dan sebagainya. Ibu bapa perlu melakukan try and error ketika menggunakan aplikasi terbabit.
Jika menggunakan DidikTV, ibu bapa perlu memastikan dan memantau waktu siaran yang bersesuaian dengan anak-anak mereka. Semasa proses PdPR berlangsung, ibu bapa perlu membantu untuk klik pautan berkaitan, juga kemahiran-kemahiran asas lain berkaitan komputer. Di samping itu, adakala ibu bapa perlu membantu untuk menjawab soalan dan aktiviti berkaitan.
Penglibatan ibu bapa amat perlu kerana agak sukar bagi anak-anak yang baru mencuba untuk beradaptasi dengan kaedah ini untuk melakukannya tanpa bantuan orang lebih dewasa di sisi mereka.
Keadaan ini sudah pasti menyukarkan ibu bapa yang perlu keluar bekerja. Anak-anak mungkin hanya dapat belajar setelah ibu bapa balik dari kerja dan membantu melaksanakan aktiviti yang telah diselesaikan oleh rakan sekelas mereka pada waktu siang.
Tidak dinafikan, pelaksanaan PdPR boleh juga dilakukan secara luar talian, namun dalam situasi pandemik ini, hubungan antara guru dan murid serta ibu bapa akan lebih efektif sekiranya menggunakan medium secara dalam talian.
Di pihak ibu bapa pula, sekiranya ada masalah yang boleh mengganggu pembelajaran anak-anak mereka atau tidak dapat mengikuti kelas dengan baik, perlulah dimaklumkan kepada guru.
Dalam situasi getir ini, ibu bapa dan guru perlu saling bekerjasama dan membantu antara satu sama lain demi kelangsungan pembelajaran anak-anak.
PROF. MADYA DR. CHE HASNIZA CHE NOH
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)