SAUDARA PENGARANG,
TINDAKAN majikan yang mengabaikan tanggungjawab terhadap kebajikan dan kesihatan pekerja di bawah seliaan mereka amat tidak wajar kerana gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 ( Akta 446).
Contohnya, dua buah syarikat di kawasan perusahaan di Kulim, Kedah menempatkan 30 pekerja asing dalam sebuah rumah yang mempunyai empat bilik. Keadaan tersebut tidak sesuai dijadikan penginapan memandangkan pekerja perlu tinggal dalam keadaan bersesak dan padat.
Apabila terlalu ramai dan kekurangan ruang, sudah tentu hidup berhimpit-himpit dan boleh menjadi punca penularan Covid-19. Selain itu, keadaan bilik dipenuhi barang tidak sepatutnya, sistem pendawaian berselirat dan tidak mengikut spesifikasi yang selamat juga memudahkan berlakunya kebakaran.
Saya berpendapat, operasi bersepadu oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung dalam memantau penempatan pekerja asing hendaklah diteruskan dalam skala besar. Ini kerana terdapat kluster asrama pekerja yang menyumbang kepada penularan virus Covid-19.
Pengabaian pekerja asing oleh majikan bukanlah perkara baharu kerana akta sedia ada telah digubal pada 1990. Sehubungan itu, sepatutnya majikan telah lama bersedia dan menempatkan pekerja mereka dalam rumah atau asrama yang selamat dan selesa.
Majikan atau pengurus yang lepas tangan dan tidak mengambil berat terhadap kebajikan pekerja dengan menempatkan mereka di premis tidak selamat dan berhimpit sehingga menyebabkan penularan Covid-19 hendaklah diambil tindakan di bawah Akta 446 dan Akta Pengawalan Penyakit Berjangkit.
Ketegasan Jabatan Tenaga Kerja diperlukan untuk menjamin negara mendapat sumber tenaga kerja asing yang berterusan dan pada masa sama tidak menimbulkan masalah kepada rakyat mahupun negara.
ABDUL HAMID
Temerloh, Pahang