Elok UMNO tanding solo - Utusan Malaysia

Elok UMNO tanding solo

AGENDA perpaduan Melayu akhirnya dirobek oleh pihak dalaman sendiri yang bertindak secara unilateral untuk mengadakan hubungan politik dengan pihak musuh. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEWAJARNYA status sokongan UMNO mahupun Barisan Nasional (BN) terhadap parti -parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak ditimbulkan mahupun dijadikan polemik pada hari ini.

Ini kerana sejak dari pembentukan kerajaan PN pada awal tahun lalu, telah dipersetujui untuk UMNO memberikan sokongan di peringkat ahli Parlimen semata-mata, itupun sehingga penggal PRU-14 berakhir.

Jelas di sini, pembubaran Parlimen untuk diadakan PRU-15 sewajarnya menjadi titik noktah sokongan wakil rakyat UMNO terhadap kerajaan PN. Jauh sekali untuk dibincang soal pembahagian kerusi antara UMNO dan parti komponen PN lain kerana hal tersebut sememangnya tiada dalam agenda parti Melayu itu dari awal pun!

PN kini dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Gerakan.

Retorik sesetengah pihak yang tiba-tiba memainkan isu perpaduan Melayu-Islam tidak wajar mengalih tumpuan UMNO daripada agenda asal yang mahu memulihkan maruah parti dan mengembalikan kuasa serta haknya yang telah dicabul.

Bahkan perlu difahami, usul perpaduan Melayu itu sendiri digagaskan oleh UMNO bagi memperkukuhkan kesepakatan kaum sama ada di peringkat parti politik, pertubuhan bukan kerajaan mahupun individu yang pada perkiraan UMNO waktu itu adalah dalam keadaan terancam.

Agenda perpaduan Melayu akhirnya dirobek oleh pihak dalaman sendiri yang bertindak secara unilateral untuk mengadakan hubungan politik dengan pihak musuh. Walaupun tiada peraturan yang dilanggar, sewajarnya adab berorganisasi yang menuntut kepada semangat saling menghormati dan menjaga sensitiviti pihak-pihak terlibat tidak dikesampingkan sesuka hati.

Menyedari realiti ini, UMNO sewajarnya memandang ke hadapan dan mencantas halangan yang dilihat boleh mengehadkan potensinya untuk lebih berjaya.

Parti itu tidak sepatutnya mengorbankan diri dan misi semata-mata mahu menggembirakan rakan baharu yang terbukti beberapa kali mempunyai rekod cuba membenamkannya dari dalam. Atau apakah UMNO masih mahu mengambil risiko setelah beberapa kali menjadi mangsa sebelum ini?

UMNO perlu sedar, walaupun kalah pada PRU-14, ia tetap sebuah parti yang kekal berpengaruh besar pada hari ini. Hal ini seterusnya menyebabkan ia menjadi ancaman bukan sahaja kepada parti lawan, bahkan rakan-rakan yang tegar untuk memperluaskan pengaruh sendiri demi memperkukuhkan parti masing-masing.

Ini terbukti apabila seolah-olah wujud komplot dalam kalangan rakan sendiri untuk melemahkan pengaruh UMNO apabila cuba mempromosi kerjasama politik yang lebih luas dalam soal agihan kerusi. Rancangan ini dilihat bakal mengurangkan dominasi UMNO.

Demi survival sendiri, UMNO tiada pilihan melainkan bergerak secara solo dalam PRU-15 kelak. Keputusan untuk bergabung dengan parti lain bagi membentuk pakatan kerajaan baharu sewajarnya hanya dibincangkan selepas ‘peperangan’ berakhir kelak.

ALCMAEON AENEAS
Bangsar, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya