Ekosistem tampil kepimpinan muda - Utusan Malaysia

Ekosistem tampil kepimpinan muda

MULAI Disember tahun ini, had umur maksimum pemegang jawatan pertubuhan belia adalah 30 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Rang Undang-Undang (RUU) Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) diluluskan Parlimen pada 2019 yang antara lain menurunkan had umur dalam takrif belia daripada 40 kepada 30 tahun.

Pindaan itu memperuntukkan had umur seseorang pemegang jawatan sesebuah pertubuhan belia berdaftar ialah minimum 18 tahun dan tidak lebih 30 tahun pada tarikh pelantikannya.

Berikutan wujud pelan transisi atau peralihan pelaksanaan RUU itu selama dua tahun, maka had umur belia terbabit hanya bermula secara rasmi pada Disember tahun ini.

Untuk melicinkan proses transisi kepada kepimpinan lebih muda, ia memerlukan sistem sokongan dan ekosistem dukungan. Apabila penurunan had umur dilakukan secara paksaan tanpa ekosistem yang saling melengkapi, maka ia akan mendapat tentangan.

Bagi menarik lebih ramai golongan muda menyertai pertubuhan belia, penglibatan dan pengalaman mereka dengan gerakan belia wajar dijadikan salah satu merit atau perkiraan penting untuk permohonan mendapatkan sesuatu pekerjaan, latihan dan program ditawarkan kerajaan.

Pintu sekolah juga wajar dibuka seluas-luasnya kepada gerakan belia untuk dijadikan markas pengkaderan sejak usia 12 hingga 15 tahun bagi memastikan permulaan penyertaan ke dalam gerakan belia berlaku seawal mungkin.

Jawatankuasa Kementerian Pendidikan-Kementeran Belia dan Sukan-Majlis Belia Malaysia bagi penyelarasan kewujudan gerakan belia secara rasmi di institusi pengajian dan sekolah harus dihidupkan semula dengan turut melibatkan Kementerian Pengajian Tinggi.

Kali terakhir ia digerakkan ketika Steven Sim menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan, namun ia berhenti sekerat jalan. Majlis Belia Selangor pernah mempelopori program Tunas Belia di sekolah-sekolah sekitar negeri itu. Usaha-usaha seperti ini wajar dinilai dan diberikan nafas baharu.

Sistem sokongan berbentuk latihan dan bimbingan untuk golongan muda perlu diwujudkan dengan menggandakan kursus-kursus asas pengurusan persatuan belia, kursus asas kepentingan gerakan belia, kursus kepimpinan mahupun kursus penjanaan dana di semua peringkat.

Kempen besar-besaran #JomMasukBelia wajar diadakan di peringkat nasional untuk mengajak anak muda di semua sektor dan peringkat menyertai gerakan belia dengan pelbagai pendekatan menarik melalui Rakan Muda dan Anugerah Remaja Perdana yang berteraskan gaya hidup dan hobi yang diminati anak muda.

Insentif tambahan wajar difikirkan bagi menarik minat golongan muda secara sukarela masuk ke dalam pertubuhan belia atau menubuhkan gerakan sendiri.

Masyarakat di sesuatu kawasan perumahan juga digalakkan memberi dana kepada gerakan dan pusat belia di lokaliti masing-masing kerana ia mampu memberikan pengisian bermakna kepada golongan itu dan mengurangkan gejala sosial serta jenayah di kawasan setempat.

Idea Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican untuk memberikan insentif kepada persatuan belia yang berjaya meramaikan pemimpin muda di bawah 30 tahun dan mempercepatkan transisi kepimpinan wajar disambut dan terus diimplementasikan.

JUFITRI JOHA
Presiden Majlis Belia Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya