Dia, katak dan matahari - Utusan Malaysia

Dia, katak dan matahari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cerpen karya NORSAMILA SAMSUDIN

MALAM tadi, katak di bawah rumah sudah tidak buat bising lagi. Saya hanya mendengar bunyi, satu atau dua ekor katak. Saya hendak turun melihat mereka, tetapi saya takut. Dan, saya tidak mahu menyusahkan abang.”
Pagi-pagi lagi dia sudah mengatakan itu kepada saya. Saya hanya membisu, memandang pada dia yang kemudiannya terkocoh-kocoh menyarung selipar. Saya juga melakukan perkara yang sama. Kami berjalan beriringan menuju ke bukit di belakang rumah. Hari masih gelap. Subuh masih memegang waktu.
“Matahari belum berpindah. Saya tahu, yang dia akan berpindah. Tetapi, saya harap bukan pada hari ini.”
Dia bersuara lagi sewaktu saya dan dia sudah mula berada di kaki bukit. Kami terus mendaki dalam gelap yang sudah tidak begitu pekat. Dia begitu bersemangat untuk tiba di puncak bukit yang tidak berapa tinggi. Tetapi cukup untuk melihat lapangan padi dan bukit di kampung sebelah sana. Yang dari atas bukit, pokok dan sungai tampak kecil. Kelihatan seperti alat mainan kanak-kanak. Langit pula seakan bentangan lukisan yang cukup besar.
Tiba di puncak bukit yang lebih kurang lima minit mendakinya, dia terus duduk mengangkat lutut. Mulutnya sudah diam. Tidak lagi terbuka dan bercerita. Dia sebaliknya mula membesarkan mata. Memandang pada langit dan menanti dengan teruja.
Saya mengambil tempat di sebelah dia. Bila duduk begitu, ketinggian bahu kami hampir sama. Dia 12 tahun, dan saya, 21 tahun. Dia, adik kandung saya, seorang autisme!
Kata guru khas yang mengajarnya, anak autisme ini sangat mudah dapat akan perkara baru yang diajarkan kepada mereka. Cuma, metodologi pengajaran untuk anak-anak seperti dia berbeza. Perlu bersabar untuk pengajaran yang berulang. Mereka cepat bosan dan mudah mengabaikan jika mereka tidak mahu mendengar perkara itu lagi.
Tetapi, bila mereka sudah mencerap satu-satu pelajaran itu, mereka akan ingat dan amat mudah mempraktikkannya tanpa ragu. Seorang anak autisme jika dicampak ke dalam kolam renang, akan mudah mengapungkan tubuhnya sendiri. Menurut kajian, mereka adalah anak-anak yang paling mudah belajar berenang.
Cuma, mereka perlu mendapat rawatan dan perhatian awal daripada pakar, iaitu seawal kelahiran. Jika gagal atau lambat berbuat demikian, anak autisme ini boleh menjadi tidak terkawal. Jika ini terjadi, bukan sahaja boleh membahayakan orang di sekeliling, tetapi juga diri mereka sendiri.
Langit semakin berubah warna. Dari biru gelap kepada warna jingga yang membesar dan terus membesar. Seakan simbahan cat yang memeta kanvas yang baharu.
Dia semakin membesarkan mata. Memerhatikan perubahan warna langit.
“Matahari sudah bangun. Dia masih ada, di situ. Matahari belum berpindah lagi.” Dia tersenyum pada langit yang semakin cerah. Wajahnya semakin jelas di mata saya.
“Saya berharap, esok matahari akan bangun dari tempat yang sama juga.” Dia terus menyambung bicara walaupun saya tidak pernah membalas walau sepatah kata.
“Mari balik, abang. Esok, saya hendak datang melihat matahari lagi.” Dia bangun sambil mencapai tangan saya.
Saya menurutinya. Bangun, lalu melangkah.
“Nanti sekejap, abang. Belakang awak ada kekotoran.”
Cepat saya menoleh pada punggung saya. Ada beberapa daun kering yang melekat. Saya bersihkan. Saya pusingkan tubuhnya pula. Saya melihat, di punggungnya juga ada kekotoran yang sama. Saya bersihkan dengan berhati-hati.
“Terima kasih, abang.”
Begitulah dia. Apa yang dipelajarinya di sekolah, diamalkannya dengan baik sekali. Saya sendiri banyak belajar daripada dia. Bahasanya memang ‘baku’ kerana guru yang mengajar dia begitu. Saya tidak berani hendak mengubah pengajaran gurunya, takut dia keliru.
Kami berjalan pulang.
“Saya berharap katak di bawah rumah masih ada dan akan membuat bunyi bising lagi pada malam ini.”
Persoalan katak dan matahari bersilih ganti diucapkannya saban hari. Saya jadi semakin ingin tahu tentang dua perkara ini bila setiap hari akal disajikan dengan bicara yang sama. Lalu, hari ini, saya ambil keputusan untuk bertanya:
“Kenapa awak selalu bercakap tentang katak dan matahari?”
Dia hentikan langkahnya. Memandang pada saya. Saya juga berbuat demikian. Kami bertatapan.
“Sebab katak akan hilang. Matahari akan bangun tidur dari tempat lain! Saya perlu beritahu pada awak, abang.”
“Kenapa saya perlu tahu?”
“Supaya awak boleh bersedia, kalau saya tidak ada.”
“Awak akan ke mana?”
“Ikut ibu dan ayah. Jumpa Tuhan.”
Saya terdiam.
“Kalau saya sudah tidak ada, abang tengok-tengoklah di bawah rumah. Adakah katak masih ada. Abang juga perlu tengok matahari bangun dari mana.”
Saya terus-terusan juga berdiam.
Kemudian, kami teruskan perjalanan pulang. Sewaktu menuruni bukit, dia tiba-tiba berlari ke depan.
“Saya nampak katak.”
Dia mengejarnya. Saya turut berkejar sama.
Dia tiba-tiba berhenti.
“Katak hilang lagi. Katak akan pergi dari bumi. Serangga akan jadi raja. Dia akan menakluk bumi. Kita semua akan mati dijajah serangga yang banyak.”
Dia terus berjalan dengan longlai, diiringi langkah kekecewaan.
Malam itu, dia tidur awal selepas cubaannya mengesan bunyi katak, gagal. Katak-katak itu seolah-olah sudah benar-benar hilang dari bawah rumah. Atau, mungkin di mana-mana. Tiada bunyi, walau seekor pun. Memang sangat sunyi malam itu. Cengkerik pun seolah tidak sudi berlagu.
Saya menatap skrin telefon pintar. Terhenti pada satu perkongsian dalam laman muka buku:
“Populasi katak semakin berkurangan. Keseimbangan ekosistem mulai terjejas. Ular akan kehilangan sumber makanan. Spesis serangga akan bertambah kerana tidak ada katak sebagai pemangsa dalam rantaian makanan.”
Saya menoleh ke arah dia. Dia betul-betul sedang lena. Tidak lagi memikirkan tentang katak dan matahari.
“Saya sudah faham.”
Saya katakan pada dia walaupun dia tidak sedar dan sudah tidak dengar apa.
Esoknya, saya kejutkan dia yang kelihatannya tidak berkutik apa. Masih lena. Sudah waktunya matahari bangun. Biasanya dia akan bangun dahulu berbanding saya. Dan, yang pasti, bangun sebelum matahari. Dia akan menyelesaikan solat Subuh dan terkocoh bersiap untuk melihat mataharinya.
Tetapi, pagi ini amat berbeza. Saya goncang tubuhnya. Dia tidak juga bangun-bangun. Saya katakan padanya, “Cepat, kita ingin pergi, melihat matahari.”
Tetapi, dia terus lena.
Matahari bangun di ufuk Timur. Tuhan belum atur untuk matahari muncul di Barat.
“Bangunlah. Matahari belum berpindah lagi. Bangunlah.” Goncangan saya pada tubuhnya semakin lemah. Selemah hati saya.
Katak sudah pergi. Matahari masih bangun di tempat yang sama.
Dia, adik autisme saya sudah berpindah ke alam lain. Meninggalkan saya untuk menanti bunyi katak, melihat matahari bangun pagi, seorang diri. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya