SAUDARA PENGARANG,
URA-ura Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semakin kuat ‘bergoyang’. Mustahil pokok boleh bergoyang jika tiada angin. Nampaknya, ia tidak lama lagi.
Tahun lalu, difahamkan sebanyak 4.2 juta penduduk berusia 21 tahun ke atas dan layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih. Jumlah tersebut mewakili 22 peratus daripada warganegara yang layak mengundi.
Oleh itu, saya ingin bertanya, sudahkah anda mendaftar sebagai pengundi? Sebagai rakyat, kita perlu ambil kelebihan melalui pendaftaran undi. Hanya melalui undi, kita mampu memilih pemimpin yang unggul seperti Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Geopolitik yang melanda negara amat membimbangkan. Pemimpin yang unggul seperti Tan Sri Muhiyiddin Yassin sedang diasak oleh pelbagai pihak untuk menjatuhkan pentadbirannya.
Sebagai anak muda, wajarlah kita segera mendaftar sebagai persiapan dalam menentukan yang layak memimpin negara. Menang atau kalah itu soal lain. Yang penting, setiap undi itu membawa suara rakyat.
Oleh itu, saya sarankan semua lapisan masyarakat agar menggesa anak muda untuk mendaftar sebagai pengundi.
ABDUL KADIR MOHAMMAD
Paloh, Kluang
Johor