SAUDARA PENGARANG,
AKHIRNYA, kerajaan negeri Selangor mengambil keputusan tepat apabila menetapkan kadar bayaran bas Smart Selangor sebanyak 90 sen kepada warga asing bermula Isnin ini.
Sementara bagi warga tempatan masih boleh menggunakan perkhidmatan tersebut secara percuma.
Memang sepatutnya warga tempatan disediakan perkhidmatan ini secara percuma kerana ia adalah hak mereka selain merupakan membayar cukai.
Sejak diperkenalkan pada 2015 melibatkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK), warga asing mengambil kesempatan terhadap perkhidmatan percuma ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han baru-baru ini mengatakan, kerajaan negeri menanggung kos pengurusan Smart Selangor kira-kira RM50 juta setahun bagi 136 buah bas meliputi 43 laluan.
Caj yang bakal dikenakan itu sekurang-kurangnya dapat menampung sebahagian kos pengurusan bas.
Diharap usaha ini akan membantu menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam selain dapat meringankan beban golongan kurang berkemampuan.
Perkhidmatan ini juga dapat membantu mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian yang menyebabkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran alam sekitar.
ZAM
Subang Jaya, Selangor