Bukan senang jadi pensyarah - Utusan Malaysia

Bukan senang jadi pensyarah

PARA pensyarah semakin tertekan dan menghidap pelbagai penyakit akibat terpaksa menghasilkan jurnal berimpak tinggi demi mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TUGAS pensyarah bukan hanya mengajar di bilik kuliah, makmal dan lapangan malah terikat untuk menjalankan penyelidikan, perundingan, khidmat masyarakat, pentadbiran dan penerbitan.

Setiap tahun, mereka perlu mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan. Sekiranya gagal, ia akan memberi kesan kepada gaji tahunan, kenaikan pangkat malahan terkait dengan isu pengesahan jawatan.

Bagi menjayakan KPI, pensyarah perlu menghasilkan penerbitan jurnal berimpak tinggi yang menjadi kayu ukur akademia. Mahu tidak mahu, mereka bertempiar mencari jurnal sesuai dengan KPI.

Pensyarah bukan hanya menulis dan menghantar penulisan untuk diterbitkan tetapi pada masa sama mencari senarai jurnal dan penerbit selain memastikan ranking penerbitan, yuran, format dan pelbagai kehendak editor jurnal.

Ada ketika berpuluh penulisan dibuat mengikut kehendak penilai jurnal, namun akhirnya ditolak. Ada juga berpuluh penulisan yang diterbitkan di pangkalan data jurnal berimpak tinggi, namun terpaksa dikeluarkan kerana penerbit berhenti menerbitkan jurnal. Sayangnya, isu-isu ini tidak ditanya ketika temu duga kenaikan pangkat. Yang kerap ditanya adalah isu gagal memenuhi KPI ditetapkan.

Pensyarah tetap mengekalkan sisi integriti dalam semua tugasan yang dilakukan termasuk mendapatkan data asli dan membuat rujukan sebelum penulisan diterbitkan. Mereka bersengkang mata memastikan jurnal atau penerbit yang dicari adalah sah dan diiktiraf akademik peringkat dunia.

Apabila teknologi maklumat lebih mendominasi nilai kemanusiaan, maka timbul isu jurnal pemangsa, scammer dan pelbagai lagi yang akhirnya pensyarah menjadi mangsa keadaan. Ini kerana terdapat pasaran yang menawarkan perkhidmatan tersebut. Tidak semua pensyarah peka dan mahir dalam mengenali selok belok akaun palsu dan penipuan jurnal.

Tiada jalan pintas bagi pensyarah untuk menjadi profesor atau dinaikkan pangkat. Tempoh menerbitkan jurnal secara percuma atau melalui penerbit yang ‘dikenali’ mengambil masa agak lama sehingga dua tahun.

Jika ini berlaku, bagaimana dengan KPI tahun semasa? Adakah universiti, unit kenaikan pangkat mahupun ahli senat universiti yang terdiri daripada profesor memahami keadaan ini? Sedangkan di zaman mereka, isu ini mungkin tidak timbul. Malah, mereka pun sudah mencapai beratus-ratus penerbitan berimpak tinggi di peringkat dunia mahu pun kebangsaan.

Bagaimana dengan nasib pensyarah muda yang baharu berjinak dengan dunia akademik? Selain terpaksa berhadapan cabaran dunia realiti, mereka turut tertekan sehingga mengalami pelbagai penyakit.

Ini antara cabaran perlu dipikul oleh akademia hari ini untuk menjadi pensyarah kerana terdapat nilai-nilai tertentu yang tidak dimiliki kerjaya lain.

PROF.  MADYA DR. KHAIRUNESA ISA
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia,
Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya