SAUDARA PENGARANG,
Sejak negara dilanda wabak Covid-19 hampir setahun lalu, masyarakat sentiasa takut dengan jangkitannya. Untuk keselamatan, setiap orang dikehendaki memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah yang merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP). Tujuannya mengelak daripada dijangkiti virus Covid-19.
Namun, adakah masyarakat peka berkaitan keselamatan pada sepanjang masa? Jika kita perhatikan setiap hari di jalan raya, taman perumahan atau taman rekreasi, terdapat banyak pelitup muka dibuang merata-rata.
Di manakah kefahaman dan tanggungjawab kita untuk menjaga kebersihan dan keselamatan? Rasanya tiada. Walaupun hanya segelintir yang melakukannya, namun risiko tetap ada kerana pelitup muka itu berisiko dijangkiti penyakit.
Usaha kerajaan menerangkan panduan penggunaan dan nyahhapus sisa pelitup muka yang digunakan melalui saluran kerajaan dan swasta seperti televisyen dan radio tidak diendahkan.
Bagaimana mahu mengekang wabak sedangkan kita masih tidak mengubah cara hidup? Sikap masyarakat masih berada pada kelas terbawah dalam penjagaan kebersihan kesihatan dan keselamatan diri serta alam sekitar.
Justeru, setiap masyarakat perlu memperbaiki minda dalam menjalani kehidupan norma baharu dengan menjaga kepentingan dan keselamatan bersama sepanjang masa.
Sanggupkah anda hidup dengan risiko atau melalui sedikit tindakan, dapat menyelamat nyawa sendiri dan orang di sekeliling?
ZULKIFILI BAKAR
Taman Pulai Indah, Johor Bahru, Johor