SAUDARA PENGARANG,
KITA sering diingatkan supaya memelihara serta menjaga seni budaya dan warisan agar tidak terus hanyut dibawa arus kemodenan. Masyarakat Islam paling terkesan apabila budaya Barat menular di negara ini dengan memberi dimensi baharu terhadap dunia hiburan.
Bermula dari sinilah pelbagai acuan baharu ditiru termasuk imej, gaya persembahan sehingga program realiti pun mirip gaya hiburan ala Barat.
Malaysia terkenal dengan khazanah seni budaya dan warisan. Pada masa kini hampir kesemua genre muzik mengandungi elemen Barat yang ketara seperti rock, pop rock, heavy metal, hip hop dan terbaharu, J-pop serta K-pop.
Maka muncullah hiburan dengan genre muzik Barat yang kononnya lebih moderate dan mengikut peredaran zaman bagi mempengaruhi pendengar serta peminat muzik. Pun begitu, dibimbangi perkara ini boleh melenyapkan seni budaya muzik tradisional warisan berzaman.
Sungguhpun begitu, dunia hiburan masih boleh menarik nafas lega kerana berjaya menampilkan artis-artis seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Wani Hasrita yang menjaga imej serta mempertahankan nilai seni budaya dan adat ketimuran orang Melayu.
Masalah yang dihadapi apabila masyarakat gagal mempertahankan nilai adat dan budaya Melayu. Inilah punca kelemahan iman umat Islam yang mudah terpengaruh dengan budaya, fesyen dan genre hiburan yang merosakkan nilai seni.
Sekalipun industri hiburan memerlukan nilai komersial, namun tidak wajar meminggirkan terus seni budaya dan adat ketimuran Melayu kerana ia adalah warisan tradisi dan jati diri yang perlu dibanggakan.
Tidak salah bagi penggiat seni hiburan dan industri muzik berkembang maju dan bersaing dengan dunia hiburan antarabangsa, tetapi perlu mengekalkan nilai dan adat ketimuran kerana akar budaya Melayu lebih kukuh dan maruah Islam perlu dijaga.
MUZAKKIR IBADURAHMAN
Kepala Batas, Pulau Pinang