Bila nasihat apa pun tak jalan ... - Utusan Malaysia

Bila nasihat apa pun tak jalan …

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA menerima beberapa e-mel daripada wanita berlainan. Ia bermula selepas saya menulis dalam kolum ini yang bertajuk Mangsa sumbang mahram bersuaralah pada pertengahan Januari lalu.
Beberapa wanita mengadu tentang masalah dalam rumah tangga mereka. Antaranya suami kaki pukul isteri dan anak, kaki perempuan, kaki mabuk, kaki kelentong, kaki dadah dan macam-macam kaki lagi.
Saya bukan mengelola ruangan memberi nasihat dalam memperbaiki hubungan dengan pasangan. Pernah juga diminta mengendalikan ruangan seperti itu dalam akhbar ini. Saya tolak. Bukannya apa, hendak beri nasihat pun risau, nanti saya ternasihat minta cerai saja lah.
Yalah, kadang-kadang apabila masalah terlalu rumit dan memudaratkan keselamatan diri dan anak-anak, perceraian adalah jalan penyelesaian. Habis cerita. Tetapi itulah ada yang rela dihumban ke pintu, badan sakit-sakit seumur hidup dan anak lebam-lebam seluruh badan dan hidup dalam ketakutan daripada meminta cerai. Ini yang saya kata, nasihat apa pun tak jalan.
Walaupun begitu sebagai wanita bila wanita lain mengadu masalah seperti ini saya minta mereka kuat dan berani. Sebabnya jika tidak kuat dan berani, segala bentuk bantuan dan nasihat akan menjadi sia-sia.
Kadang-kadang yang jadi penasihat pula naik geram dan marah. Pasangan sudah melakukan perbuatan yang terlalu melampau dan kejam pun, masih memberi muka untuk terus disakiti. Yang ini tak perlu dinasihat, sendiri membenarkan, sendirilah menanggung, kata orang.
Memberi peluang kedua, ketiga atau kesepuluh pun ia sepatutnya mendatangkan kebaikan kepada mangsa. Jika tidak, peluang itu sebenarnya hanya membuka ruang lebih besar lagi untuk pasangan melakukan kerosakan dan menyakiti.
Suami kaki pukul misalnya, kadang-kadang ia satu ketagihan dan penyakit. Susah untuk membuang tabiat memukul. Macam ketagihan dadah juga lah. Berjanji dan menyesali bukan jalan selesai yang mutlak. Jika kita ikuti banyak kes pukul yang dibawa ke mahkamah, kebanyakannya berjanji mahu berubah tetapi apabila kemarahan menguasai, hilang ke laut lah semua janji yang dia sudah insaf dan sedar itu.
Sejak kebelakangan ini banyak cerita yang menyedihkan membabitkan wanita. Ada yang dibunuh kejam. Ditembak suami sendiri. Dijerut. Kadang-kadang baca berulang kali. Betulkah ini berlaku di Malaysia?
Di negara ini ada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NG0) selain aktivis masyarakat yang boleh diharapkan untuk membantu wanita yang bermasalah tidak kira kes penderaan terhadap diri sendiri atau anak-anak.
Dalam pada itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga mempunyai hotline dan saluran untuk mangsa-mangsa penderaan fizikal dan emosi ini mengadu.
Pengadu juga boleh membuat aduan di balai polis atau pejabat Kebajikan Masyarakat berhampiran selain terus ke hospital sekiranya dicederakan.
Makanya tiada istilah bersendirian jika terjebak dalam masalah rumah tangga yang membahayakan diri sendiri dan anak-anak. Macam-macam saluran sebenarnya untuk membantu, cuma akhirnya kalau hendak keluar daripada masalah itu, diri sendiri lah kena bertindak.
Dan mengadu biarlah pada yang benar-benar dapat membantu. Meluah perasaan dalam media sosial misalnya, ada kalanya lebih memburukkan keadaan.
Asyik berbalas atau sindir menyindir pasangan pun ia hanya membuka pekung di dada dan aib sendiri. Kadang-kadang kita yang tidak ada kena mengena dalam status itu pun naik malu dan terkilan, kenapalah hal-hal sebegini mahu dicanang satu dunia. Apa yang dia dapat?
Diharapkan wanita yang bermasalah dalam rumah tangga, lebih-lebih lagi yang nyawa diri sendiri dan anak-anak terancam, jangan takut dan bertangguh mendapatkan bantuan. Kaki dera harus dihukum. Agak-agaklah dalam memberi peluang. Sayangi diri sendiri dan anak-anak sebelum menyayangi orang lain. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya