Bila kita nak bina universiti sukan sendiri? - Utusan Malaysia

Bila kita nak bina universiti sukan sendiri?

FORUM membincangkan cadangan penubuhan universiti sukan yang menampilkan Yuslaini Azmi sebagai moderator (kiri) dan dua ahli panel, Nazmizan Muhammad (tengah) serta Tarmizi Anuwar yang disiarkan secara langsung melalui platform dalam talian, NextStep Malaysia, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu bersama Pemuda Amanah negeri itu menganjurkan forum berbentuk santai yang membincangkan isu-isu mengenai industri sukan negara.

Forum ini dikatakan bakal diteruskan pada masa depan dengan topik berbeza bagi membincangkan pelbagai isu yang membelenggu pemain dalam industri sukan negara.

Bagi forum pertama pada 25 Februari lalu, tajuk yang dipilih ialah Relevankah Penubuhan Universiti Sukan Malaysia. Panelis yang mengulas isu ini bukan calang-calang orang iaitu bekas pelari pecut negara, Nazmizan Muhammad dan pengasas bersama parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Tarmizi Anuwar yang juga pelajar jurusan Pendidikan Jasmani dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Nazmizan berkongsi kisahnya diambil menjadi pelapis olahraga negara di bawah program Bakat Khas Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) sekitar 1990-an di mana bakat beliau sepatutnya dicungkil dalam lompat bergalah. Namun, akhirnya beliau lebih menyerlah dalam acara pecut.

Beliau bersetuju dengan cadangan beberapa pihak supaya ditubuhkan Universiti Sukan Malaysia kerana ia lebih membantu seseorang atlet untuk fokus pada pembelajaran, mudah ke lokasi latihan pusat secara konsisten dan melahirkan lebih ramai thinking athlete.

Tarmizi pula memilih untuk mengkritik kelompangan pendidikan sukan negara yang agak terhad dalam silibus pembelajaran di universiti tempatan. Beliau turut menyarankan diadakan program latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) mengenai sukan yang lebih memfokuskan praktikal berbanding teori.

Beliau berpendapat, perlu ada penambahbaikan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan tentang isu ini.

Tarmizi juga mengkritik penglibatan ahli politik dalam persatuan sukan yang sekadar ingin mendapatkan keuntungan peribadi, namun tiada pelan jangka panjang. Beliau berpendapat, persatuan sukan harus dikendalikan oleh orang yang mahir dalam bidang itu.

Universiti Sukan Malaysia ini pernah dibincangkan oleh beberapa pakar dalam industri sukan negara, namun masih tiada perincian yang jelas untuk menjadikan ia satu realiti. Jika Malaysia menubuhkan universiti sukan pertama, saya yakin ia akan menjadi penanda aras lebih tinggi dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi.

Kita lihat bagaimana China menjadi kuasa besar dunia dalam sukan kerana mereka mempunyai tujuh universiti sukan.

Langkah ini turut dibuat beberapa negara lain seperti India, Vietnam dan Korea Selatan.

Boleh dikatakan negara-negara yang mempunyai universiti sukan berjaya melahirkan atlet bertaraf dunia secara konsisten dan menjadi kuasa besar sukan di peringkat global.

Kedua-dua panelis terbabit bersetuju dengan idea penubuhan universiti sukan bagi membolehkan industri sukan negara diangkat ke satu tahap lebih tinggi dan memberi keuntungan kepada negara.

YUSLAINI AZMI
Ketua Wanita Muda AMK Terengganu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya