SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dilaporkan sedang berunding dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia bagi mendapatkan kebenaran khas membawa masuk pekerja asing baharu.
Sektor perikanan laut dalam sebelum ini juga dilaporkan berhadapan masalah kekurangan tenaga kerja selepas pekerja asing dari Thailand tidak dibenarkan memasuki negara ini sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.
Namun, isu itu telah diselesaikan setelah tekong dan awak-awak dari Thailand dibenarkan kembali ke Malaysia.
Ribuan pekerja ladang sawit dari Indonesia pulang ke negara asal mereka ketika Malaysia menutup sempadan untuk membendung pandemik Covid-19.
Mungkin kerajaan boleh menimbangkan untuk membenarkan buruh ladang Indonesia yang terkandas di negara mereka kembali ke Malaysia dengan mengambil contoh kes di sektor perikanan berbanding membawa masuk pekerja asing baharu.
Buruh ladang asing yang dibenarkan kembali perlu mempunyai sijil pengesahan negatif Covid-19 sebelum diberikan kelulusan mendapatkan MyTravelPass yang dikeluarkan Jabatan Imigresen.
Sebagai langkah jangka panjang, diharap agar usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mencipta teknologi mesin, dron dan robot dalam kerja meracun dan menuai buah sawit diperhebat bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing di sektor perladangan.
M. FAISAL
Kuala Lumpur