SAUDARA PENGARANG,
MASALAH anjing liar berkeliaran, tidur dan membuang najis secara merata-rata di sekitar pekan Tanjung Rambutan, Perak amat mengganggu penduduk.
Keadaan sama berlaku di premis Bank Simpanan Nasional (BSN) di pekan itu apabila terdapat banyak anjing liar yang tidur pada waktu malam dan siang sehingga menakutkan pelanggan.
Pelanggan bukan sahaja takut diterkam malah penyakit anjing gila yang pernah menggemparkan negara menjadi kerisauan mereka.
Taman permainan di situ merupakan tempat bagi kanak-kanak beriadah dan bermain, namun sekiranya terdapat banyak anjing liar, mereka akan menjadi takut.
Begitu juga tempat pembuangan sampah berselerak disebabkan anjing mencari sisa makanan menyebabkan kawasan perumahan menjadi kotor dan berbau.
Saya berharap pihak berkuasa segera mengambil tindakan dengan menangkap anjing liar yang berkeliaran di pekan dan taman-taman perumahan di situ.
ABDUL AZIZ ALI
Ipoh, Perak