SAUDARA PENGARANG,
KERBAU liar, babi hutan dan kera disifatkan sebagai satu ancaman baharu kepada warga Kampung Jeram di Perak. Babi hutan bebas berkeliaran dan memusnahkan tanaman serta membawa penyakit bawaan vektor. Populasinya cepat membiak, justeru memerlukan kawalan agar kegiatan pertanian dan ekonomi masyarakat setempat dapat bertahan.
Ancaman tersebut menyebabkan aktiviti bercucuk tanam terhalang. Oleh itu, kepakaran Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) diperlukan dalam membantu mengatasi masalah ini.
Pada masa ini, Perhilitan berdepan kekurangan pegawai serta aset seperti perangkap untuk menangkap haiwan liar itu. Kekurangan aset menyebabkan tumpuan hanya diberikan di kawasan sekolah dan hospital serta tempat awam.
Orang perseorangan tidak boleh memburu dan membunuh haiwan liar tanpa terlebih dahulu merujuk Perhilitan. Terdapat haiwan yang dilindungi untuk generasi akan datang dan jika diburu akan pupus.
Suatu ketika dahulu, haiwan seperti rusa, napuh, pelanduk, ayam hutan dan kambing gurun banyak terdapat di negara ini. Namun, kini sudah jarang terlihat disebabkan kegiatan pemburuan secara haram yang mustahil dapat dikawal oleh Perhilitan tanpa bantuan orang ramai.
Justeru, haiwan berkenaan perlu ditangkap dengan perangkap yang selamat dan diserahkan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut. Setiap perangkap dianggarkan berharga antara RM3,000 hingga RM4,000.
Sekiranya terdapat pihak yang sudi membantu menambah aset perangkap haiwan, ia boleh diserahkan kepada Perhilitan agar tidak disalah guna oleh pihak lain untuk memburu haiwan secara haram.
Pada masa sama, diharap wakil rakyat dan kerajaan negeri yang terlibat secara langsung dalam pembangunan di kawasan luar bandar turut prihatin dengan usaha mengatasi ancaman haiwan liar.
YOSRI ABU MAHSIN
Kg Jeram, Perak