BAM perlu ‘vaksin’ segera - Utusan Malaysia

BAM perlu ‘vaksin’ segera

LEE ZII JIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BUKAN sahaja kerajaan masih tercari-cari vaksin terbaik untuk rakyatnya, malah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga nampaknya perlu melipatgandakan usaha mencari penawar bagi menyembuh ‘luka’ pemainnya yang hanyut dalam Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Bangkok, Thailand pada Januari lalu.

Kegagalan pemain Malaysia mengukir nama dalam kejohanan tanpa penyertaan pemain utama dari China dan Jepun (menarik diri akibat ancaman Covid-19) patut diberi perhatian.

Paling menyedihkan, pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia gagal mencipta sebarang kemenangan dalam Kumpulan A. Dia tumbang kepada pemain nombor dua ranking dunia, Chou Tien Chen dari Taiwan dalam aksi pembukaan.

Selepas itu, Zii Jia gagal bangkit apabila mudah tunduk kepada pemain nombor satu Denmark, Viktor Axelsen. Lebih pedih apabila dia hanya mampu memungut empat mata di set kedua dengan melakukan pelbagai kesilapan mudah yang terus menutup peluangnya mengintai slot separuh akhir.

Dalam aksi terakhir Kumpulan A menentang Anthony Sinisuka Ginting (kedua-dua pemain sudah tersingkir), Zii Jia masih gagal beraksi dengan baik dan kecundang.

Keputusan tidak diduga itu mengundang pelbagai persoalan dalam kalangan peminat badminton negara. Siapakah yang patut memikul tanggungjawab kekalahan di Bangkok?

Bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj mendakwa Zii Jia tiada nafsu ‘bunuh’ lawan sebagaimana yang dimilikinya sebelum ini. Dia mahu barisan kejurulatihan negara terutama Hendrawan membuat post-mortem segera bagi mengembalikan semula sentuhan bintang muda itu.

Ramai pemerhati sukan beranggapan, kem lawan sudah mengkaji corak permainan Zii Jia. Mereka berjaya mendedahkan kelemahan pemain kita ketika bermain di depan jaring selain menghukum dengan rali panjang yang begitu memenatkan.

Langkah segera ‘mencipta’ senjata baharu amat diperlukan buat masa ini dan Hendrawan yang pernah berjanji untuk memastikan Zii Jia tidak terlepas slot ke Sukan Olimpik Tokyo perlu membuktikan segala janjinya.

Bentang segala rakaman aksi perlawanan di Bangkok, buat analisis, kaji kekuatan dan kelemahan lawan. Ia sangat penting bagi membina semula semangat perjuangan Zii Jia. Tampilkan pakar motivasi yang mampu membangkitkan ‘keghairahan’ dalam diri Zii Jia untuk dia kembali ‘bernafsu’ memburu kejuaraan.

BAM perlu berani menambah perbelanjaan dengan membawa keluar Zii Jia berguru dan mengadakan aksi perlawanan persahabatan di negara yang sudah mampu mengawal pandemik Covid-19.

Mungkin boleh ke Taiwan yang sejak akhir-akhir ini menunjukkan prestasi cukup baik dalam semua kejohanan yang disertai serta mampu menumpaskan gergasi dunia seperti China, Korea Selatan, Jepun dan Denmark.

Selain itu, BAM boleh mendapatkan khidmat pemenang dua pingat perak Sukan Olimpik, Datuk Lee Chong Wei untuk sama-sama ‘memerah’ otak bagi meningkatkan semula prestasi bintang muda berusia 23 tahun ini.

FARIZAL YUSOFF
SMK Kubang Kerian, Kelantan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya