SAUDARA PENGARANG,
BERDASARKAN perangkaan Jabatan Imigresen pada 2018, jumlah pekerja asing yang bekerja secara sah di negara ini adalah 1.73 juta orang.
Majoriti dari Indonesia, selebihnya Bangladesh, Nepal, Myanmar dan Pakistan. Sejumlah 3.3 juta warga asing pula menetap di Malaysia seperti yang dianggarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara.
Ini tidak termasuk pekerja tanpa dokumen yang sah yang dianggarkan antara 2.5 hingga 3.3 juta orang.
Angka tersebut sangat membimbangkan jika dibandingkan dengan 32 juta rakyat Malaysia di mana jumlah warga asing meliputi kira-kira 15 peratus.
Antara faktor lambakan warga asing adalah kebanyakan pekerja asing yang sudah tamat tempoh bekerja tidak pulang ke negara asal.
Ada dalam kalangan mereka membuka kedai runcit, gerai tepi jalan dan berniaga di pasar. Sikap ali baba sesetengah rakyat kita menjadikan lambakan pekerja asing kian membiak dan sukar dikawal.
Mahukah anda melihat suatu hari nanti industri kita dibolot rakyat asing dan kita pula yang akan meminta kerja daripada mereka?
JAMALEE BASHAH
Presiden Persatuan Patriots Malaysia