3 tahun lampu tidak bernyala - Utusan Malaysia

3 tahun lampu tidak bernyala

LAMPU pagar yang tidak bernyala di Tasik Barat, Shah Alam, Selangor. – IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SUDAH menjadi kelaziman penduduk di bandar raya Shah Alam meluangkan masa pada hari minggu dan cuti umum untuk beriadah di Taman Tasik Shah Alam yang terletak di Seksyen 14.

Taman tasik itu terdiri daripada tiga tasik berasingan, iaitu Tasik Barat, Tasik Tengah dan Tasik Timur. Tasik Barat adalah paling luas kawasannya dan sudah tentu paling popular.

Namun, sejak kebelakangan ini, pengunjung bersungut kerana berasa pelik disebabkan struktur pagar yang dibina di Tasik Barat tampak mahal serta dipasang dengan banyak lampu tetapi tidak menyala pada waktu malam.

Seorang penduduk yang tinggal berdekatan tasik itu memberitahu saya, pagar berkenaan siap dibina pada awal 2018 dan lampu hanya dinyalakan kira-kira dua hingga tiga bulan dan selepas itu terus bergelap.

Penduduk terbabit membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan diberikan nombor rujukan aduan 0997/10/2018. Pun begitu, lampu-lampu pagar di Tasik Barat masih tetap tidak bernyala.

Saya juga membuat aduan pada November 2019 dengan nombor rujukan 0436/11/2019. Juga, tiada apa-apa tindakan daripada MBSA.

Tanpa rasa putus asa, saya buat aduan secara dalam talian pula melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA). Setelah membuat susulan beberapa kali, barulah MBSA memberi jawapan bertulis pada 6 Januari 2020: “Kerja-kerja pembaikan melibatkan kos yang tinggi dan perlu mendapat kelulusan pihak atasan.”

Jawapan itu diberikan oleh Mohd. Yazid Othman dari Jabatan Landskap MBSA. Setelah lebih setahun jawapan itu, lampu pagar Tasik Barat masih tetap tidak bernyala hari ini.

KAMARUDDIN HASSAN
Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya