Virus tiruan halang dakyah antivaksin? - Utusan Malaysia

Virus tiruan halang dakyah antivaksin?

APAKAH mereka yang menolak vaksin Covid-19 sedia berdepan dengan pelbagai sekatan yang dikenakan terhadap mereka? - GAMBAR HIASAN AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEPERTI kita maklum, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah mengeluarkan kenyataan keras bahawa golongan antivaksin memberi ancaman kepada masyarakat global kerana pendirian mereka tidak dipegang untuk diri sendiri sahaja tetapi disebarkan kepada orang di sekeliling mereka.

Jika kita memberikan peluang kepada kumpulan antivaksin untuk terus mempengaruhi masyarakat, imuniti kelompok yang telah terbina akan mula terjejas dan negara kita akan kembali diserang dengan pelbagai penyakit bahaya yang boleh meragut nyawa.

Imuniti kelompok bermaksud virus tidak akan dapat menjangkiti suatu kelompok masyarakat yang tidak menerima vaksin kerana sebahagian besar anggota masyarakat lain telah mendapat suntikan vaksin.

Untuk pengetahuan anda, vaksin menggunakan teknologi tradisional seperti yang dikeluarkan dua syarikat dari China, Sinovac dan Sinopharm mengandungi virus Covid-19 yang telah dilemahkan atau nyahaktif sehingga tidak membuat anda sakit.

Vaksin berkenaan mengurangkan risiko terkena jangkitan Covid-19 kerana merangsang sistem imun kita untuk menghasilkan antibodi melawan virus berkenaan. Setelah mendapat vaksin, anda mempunyai imuniti terhadap penyakit itu tanpa perlu menghidapnya terlebih dahulu.

Dalam pada itu, strategi kerajaan menangkis dakyah golongan antivaksin adalah kurang berkesan. Jangan marah jika saya berpendirian, dalam peperiksaan, kerajaan hanya layak mendapat markah D atau lulus. Cadangan kerajaan mengehadkan pergerakan individu yang menolak vaksin juga boleh menyebabkan rakyat marah, sama seperti kes mengenakan syarat bagi pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Untuk melawan golongan antivaksin, kita memerlukan pemikiran yang disebut bekas Pengarah Institut Teknologi Mara (ITM), Tun Dr. Arshad Ayub sebagai berfikir di luar kotak dan break the glass.
Bagi mengetahui kaedahnya, kita perlu mengkaji laporan kewujudan varian baharu Covid-19 seperti yang dilaporkan di United Kingdom, Sweden, Denmark dan Afrika Selatan.
Semua varian baharu itu berkongsi ciri-ciri sama iaitu merebak pada kadar lebih pantas, lebih mudah menjangkiti orang lain, tiada bukti menunjukkan ia lebih berbahaya berbanding virus asal dan tidak meningkatkan kebarangkalian maut.

Sebenarnya, varian baharu itu adalah dalam kategori domesticated strain yang akan menyebabkan kita mendapat selesema sehari atau dua hari tetapi tidak teruk dan pada masa sama, merangsang sistem imun kita untuk menghasilkan antibodi bagi melawan virus Covid-19 asli.

Oleh itu, diharapkan para profesor yang bijak, mulakan langkah untuk mencipta virus Covid-19 tiruan dengan cara mengubah genetik virus asal. Kemudian, sembur sahaja menggunakan dron ke penempatan yang mempunyai ramai golongan antivaksin. Insya-Allah, tidak lama lagi seluruh Malaysia akan mempunyai imuniti kelompok Covid-19.

Kepada golongan antivaksin, kalau terpaksa juga disuntik vaksin, ambil yang kurang bahaya menggunakan teknologi tradisional keluaran Sinovac yang diedarkan di negara ini oleh Pharmaniaga Berhad dan keluaran Sinopharm yang diedar oleh Mestron Holdings Berhad.

PROFESOR SERBA TAHU
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya