SAUDARA PENGARANG,
PERDANA Menteri pada 18 Januari lalu mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bagi menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dikuatkuasakan semula oleh kerajaan.
Susulan PKP 1.0 pada tahun lalu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup sekitar 17.1 peratus. Bagaimanapun, kesan pengucupan ekonomi susulan pelaksanaan PKP 2.0 dijangka tidak melebihi lima peratus. Ini kerana pada suku ketiga 2020, pengucupan ekonomi adalah sebanyak 2.7 peratus dan yakin akan menjadi lebih kecil pada suku keempat kerana pembukaan sempadan di samping prestasi perkilangan dan eksport yang memberangsangkan.
Di sebalik momentum pemulihan ekonomi pada suku keempat dan seterusnya pada awal 2021, kita lihat angka kes jangkitan Covid-19 naik mendadak sehingga PKP 2.0 terpaksa dilaksanakan.
Dengan pelbagai inisiatif menyebabkan defisit fiskal negara dijangka meningkat antara 5.8 sehingga enam peratus daripada KDNK pada tahun lalu berbanding 3.2 peratus yang diunjurkan sebelumnya. Namun, peningkatan ini boleh dikawal dan diturunkan secara berperingkat dalam jangka masa sederhana melalui Kerangka Fiskal Jangka Sederhana ke arah konsolidasi fiskal selari dengan Rancangan Malaysia Jangka Panjang.
Bagi terus menyokong pertumbuhan ekonomi, pada 20 Januari lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.
Program vaksin menjadi titik tolak bagi peningkatan pertumbuhan ekonomi. Selaras dengan unjuran BNM, trajektori pertumbuhan dijangka meningkat bermula suku kedua tahun ini.
Walaupun sesetengah inisiatif yang diambil kerajaan melibatkan penyaluran wang terus kepada rakyat, ia dijangka tidak memberikan kesan negatif. Atas dasar tersebut, langkah meneruskan pemberian insentif tunai dalam Bantuan Prihatin Nasional (BPN) adalah amat baik dan akan dapat menjana ekonomi dengan lebih rancak.
Dengan perbelanjaan tambahan ini, ada desas-desus kemungkinan kerajaan terpaksa memperkenalkan cukai baharu bagi mengimbangi perbelanjaan tambahan yang telah dikeluarkan.
Kajian mendalam perlu dilaksanakan dengan mengambil kira semua aspek termasuk kelemahan sistem cukai jualan dan cukai perkhidmatan sekarang serta kelemahan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) terdahulu.
Kerajaan perlulah lebih kreatif dalam mempelbagaikan sumber dan berusaha menarik lebih banyak pelaburan asing.
PROF. MADYA DR. ABDUL RAHIM ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia (UPM)