SAUDARA PENGARANG,
DISTOPIA merujuk kepada dunia rekaan tidak menyenangkan yang sering digambarkan dalam filem fiksyen sains berikutan segala aktiviti rakyat dikawal dan dipantau oleh pihak pemerintah dengan bantuan robot dan peralatan yang beroperasi dengan kecerdasan buatan (AI).
Situasi itu mungkin boleh berlaku sekiranya pandemik Covid-19 yang kini menjadi krisis global berterusan. Ciri-ciri pemantauan sedemikian sudah wujud apabila kita perlu melalui proses pengambilan suhu badan dan memuat turun data peribadi ke dalam aplikasi MySejahtera di setiap lokasi perniagaan.
Tentunya itu lebih baik berbanding Singapura yang mewajibkan rakyat menggunakan aplikasi telefon bimbit TraceTogether yang mampu mengesan pergerakan individu melalui signal tanpa wayar untuk mengenal pasti sesiapa sahaja yang pernah berada dalam jarak kurang dua meter dari seseorang yang berpotensi membawa virus.
Hong Kong pula mengarahkan rakyatnya memakai gelang pintar yang menghantar isyarat kepada pihak berkuasa jika ada yang melanggar perintah kuarantin.
Jangan terkejut jika dunia selepas ini
akan dikawal dengan sistem pengesanan pergerakan automatik yang menjadikan telefon bimbit sebagai penghantar isyarat dengan alasan ia penting bagi keamanan dan melindungi orang ramai.
SHARIFUDDIN LENNON
Tanjung Karang, Selangor