SAUDARA PENGARANG,
CADANGAN untuk membina kereta api funikular (kereta kabel) baharu seperti yang terdapat dalam Draf Rancangan Kawasan Khas Bukit Bendera (RKKBB) 2020 (Penggantian) adalah satu projek yang membazir wang dan boleh menjejaskan usaha menjamin kemampanan alam sekitar serta memelihara aset warisan di situ.
Penyediaan kereta kabel baharu itu dikatakan berfungsi sebagai pengangkutan alternatif, sedangkan sudah wujud laluan kereta api funikular sedia ada yang mempunyai sejarah hampir satu abad dan laluan jip untuk menaiki Bukit Bendera.
Menggunakan alasan untuk mengurangkan kesesakan dan masa menunggu yang lama di stesen bawah dan stesen atas Bukit Bendera pada waktu puncak adalah tidak masuk akal.
Ini kerana lebih ramai lagi pelancong akan dapat diangkut ke atas puncak bukit pada masa yang sama apabila ditambahkan satu lagi laluan menaiki Bukit Bendera.
Jadi, Bukit Bendera akan bertambah sesak kerana dibanjiri lebih ramai pengunjung pada waktu puncak apabila dibina satu laluan kereta kabel baharu sehingga mendatangkan impak besar kepada kemampanan alam sekitar.
Pembinaan kereta kabel melibatkan kos sekurang-kurangnya RM100 juta akan membazir peruntukan kerajaan ketika negara kita sedang menghadapi penularan wabak Covid-19.
Sekiranya kerajaan ingin memperuntukkan dana untuk pengangkutan ulang-alik di Bukit Bendera, lebih baik menggunakan wang tersebut secara bijaksana bagi menaik taraf sistem perkhidmatan keretapi funikular sedia ada untuk mengelakkan kerosakan.
Penyelenggaraan secara berkala juga harus dibuat terhadap seluruh sistem kereta kabel sedia ada setiap tiga bulan.
CHOO CHON KAI
Pulau Pinang