SAUDARA PENGARANG,
TAHAP kebersihan tandas di premis makanan di seluruh bandar raya Ipoh masih di tahap menghampakan.
Banyak kedai makan mengabaikan kebersihan tandas sehingga kelihatan seperti tidak pernah tidak pernah dibersihkan.
Saya bukannya berniat untuk membuka aib tetapi ini adalah perkara yang perlu diambil berat kerana ia berhubung kait dengan kebersihan, lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19 masih bermaharajalela.
Saya berharap pengusaha kedai makan atau restoran mengambil berat soal kebersihan tandas demi menjaga maruah negara.
Bayangkan jika pelancong dari negara luar melihat perkara ini, sudah pasti mereka mempunyai persepsi rakyat Malaysia adalah pengotor. Tandas dan bahagian dapur perlu sentiasa dijaga demi kesihatan.
Disebabkan segelintir pemilik restoran dan kedai makan yang tidak menjaga kebersihan menyebabkan premis mereka didatangi tikus, sekali gus menghilangkan rasa lapar pelanggan.
Justeru, tindakan perlu diambil terutama dalam menjaga bahagian dapur dan tandas supaya sentiasa bersih. Pihak berkuasa tempatan (PBT) hendaklah selalu membuat pemeriksaan berkala ke atas kedai makan dan restoran.
Sifat pengotor pemilik premis boleh menjatuhkan imej bandar raya Ipoh. Jagalah kebersihan kerana amalan itu separuh daripada iman.
Contohilah tandas-tandas di kawasan rehat dan rawat (RNR) yang sentiasa dijaga dan dibersih.
Saya juga berharap pengguna mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila menggunakan tandas selain secara cermat.
ABDUL AZIZ ALI
Ipoh, Perak