SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Kementerian Pendidikan memperkenalkan DidikTV sebagai inisiatif membantu golongan pelajar mengikuti pembelajaran di rumah.
Ketika pelancaran, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, inisiatif tersebut sebagai usaha berterusan Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan akses kepada pembelajaran berkualiti.
Pelajar kini dapat mengikuti pembelajaran dari 7 pagi sehingga 12 tengah malam melalui pelbagai program berteraskan kurikulum dan kokurikulum kementerian berkenaan.
Bagaimanapun, sebagai seorang ibu, saya mendapati proses pembelajaran tersebut agak kurang menarik sehingga menyebabkan anak-anak mudah rasa bosan.
Justeru, alangkah baiknya sekiranya kerajaan dapat menambah baik siaran televisyen pendidikan tersebut dengan lebih interaktif melalui cara pembelajaran yang lebih mudah diikuti tanpa perlu terlalu formal dan ikut buku.
Melalui cara itu juga ibu bapa dapat bersama dalam proses pembelajaran tersebut, sekali gus memudahkan pelajar membuat kerja-kerja rumah atau ulang kaji pelajaran.
Ini kerana melalui kaedah pembelajaran sedia ada, pelajar hanya menonton dan tanpa sebarang interaksi dengan tenaga pengajar. Sama ada mereka faham atau tidak, kita juga tidak pasti.
Proses pembelajaran secara santai mungkin lebih menarik minat pelajar untuk bertahan lebih lama di depan televisyen, sekali gus memudahkan mereka memahami setiap pelajaran.
Saya yakin usaha kerajaan ini dapat membantu serta memberi variasi ketika proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) agar menambah minat mereka untuk menuntut ilmu.
FATIN ZULAIKHA
Ipoh, Perak